KUALA TERENGGANU: Sepasang adik beradik dipercayai lemas ketika sedang mandi bersama dua lagi rakan mereka di Pantai Teluk Lipat petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Ahmad Amirul Hafiz Jaafar dan adiknya Ahmad Amirul Haikal, masing-masing berumur sembilan tahun dilaporkan hilang di laut akibat dihanyut ombak besar.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Dahlan Mohd Noor berkata, mangsa yang tinggal di Jalan Pantai Sura, Jeti Dungun sebelum itu datang bermain dan mandi di kawasan pantai itu bersama dua lagi rakan mereka Sharifah Amira Adila Syed Mohd Azmi, 10 dan Syed Izat Hakimi Syed Mohd Azmi, 9 kira-kira 4.30 petang.

"Kesemua mereka yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Sura Dungun sebelum itu dipercayai bermain di gigi air sebelum dua daripada mereka dihanyutkan ombak besar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu usaha mencari kedua-dua mangsa telah dilakukan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah dengan dibantu orang kampung.

Namun, kerja-kerja mencari hanya dilakukan menerusi darat ekoran keadaan ombak besar, menyebabkan alat menyelamat seperti jet ski tidak dapat digunakan. -BERNAMA