Ragut: Suami maut, isteri parah

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED


Jenayah ragut yang berlaku tanpa mengenal sesiapa terus mengakibatkan insan tidak berdosa menjadi mangsa dan lebih malang ada nyawa menjadi korban. Dalam kejadian di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, semalam, seorang mangsa, Abdul Rahman Mohd. Kaladin, 34, maut manakala isterinya, di atas pengusung cedera parah akibat jenayah tersebut. - utusan/MOHD HATIM MAZLAN


KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kekejaman jenayah ragut seolah-olah tidak ada penghujungnya dengan mangsanya tidak mengenal usia.

Kurang dua minggu lalu seorang warga emas berusia 66 tahun maut setelah terjatuh daripada motosikal yang dibonceng akibat diragut di Alor Setar.

Hari ini jenayah ragut itu meragut pula nyawa seorang lelaki selain mencederakan isterinya di Jalan Jejaka di sini.

Ketika kejadian pada pukul 3.30 petang ini, mangsa, Abdul Rahman Mohd. Kaladin, 34, serta isterinya yang juga berusia 34, baru keluar daripada pusat beli-belah Jaya Jusco Taman Maluri di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai telah dihimpit dua lelaki.

"Kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z telah menghimpit kenderaan mangsa untuk meragut sebelum pasangan itu hilang kawalan dan memasuki Jalan Perkasa 1.

"Namun semasa membelok masuk ke jalan itu, motosikal mangsa telah merempuh pagar simen sebuah rumah sebelum tercampak ke tepi jalan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Penjenayah terbabit dikatakan sempat melarikan seutas rantai leher milik isteri mangsa.

Tambahnya, ketika kejadian terdapat seorang saksi cuba mengejar suspek, namun kedua-dua penjenayah itu sempat melarikan diri ke arah Jalan Perkasa 1.

Ekoran rempuhan itu Ahmad Amir memberitahu, mangsa yang tinggal di Kampung Pandan mati di tempat kejadian manakala isterinya cedera parah.