Kenal pasti penyamun Pak Arab

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR


RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wajah-wajah suspek kes rompakan pukau emas bernilai RM1 juta di Kuala Terengganu kelmarin.


KUALA TERENGGANU - Polis kini memburu tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Arab yang memukau mangsanya sebelum melarikan barang kemas bernilai RM1 juta di sebuah kedai emas berhadapan Pasar Besar Kedai Payang di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II, Hamzah Mohd. Jamil berkata, ketiga-tiga wajah lelaki berusia di antara 25 dan 35 tahun itu telah dikenal pasti melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam kedai tersebut.

Katanya, polis juga sedang mengenal pasti identiti seorang wanita berusia 30-an yang turut terbabit dalam kejadian itu.

"Sebaik sahaja dimaklumkan, pihak polis telah melancarkan 'Operasi Tutup' dengan mengadakan sekatan di jalan-jalan keluar di Kuala Terengganu. Bagaimanapun, kenderaan yang digunakan suspek gagal dikesan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Hamzah, siasatan polis juga menunjukkan kereta Proton Persona yang digunakan suspek untuk melarikan diri dalam kejadian itu adalah nombor pendaftaran palsu.

Jelasnya, siasatan akan dilakukan daripada semua aspek kerana senario kes ini agak unik dan modus operandi kes ini juga seakan-akan sama dengan satu kes lain yang dilaporkan berlaku di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira- kira pukul 2 petang kelmarin, barangan kemas bernilai kira-kira RM900,000 dalam tiga buah beg yang ditinggalkan seorang pemborong dari Kuala Lumpur di kedai emas tersebut dilarikan suspek.