Maut ditindih kapcai bapa

Budak perempuan 10 tahun tunggang motosikal mati jatuh tali air


Lokasi dibulatkan tempat Siti Hajar terjatuh ke tebing tali air bersama motosikal bapanya, Abdul Rashid (gambar kecil) di Kampung Titi Serong, Kuala Perlis, Kangar semalam.


KUALA PERLIS - Akibat meninggalkan kunci di motosikal, malang menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang tergerak hati untuk cuba menunggang motosikal tersebut.

Mangsa, Siti Hajar Abdul Rashid (gambar kecil) hanya sempat menunggang motosikal kapcai milik bapanya itu tidak sampai 10 meter sebelum dia bersama motosikal tersebut terperosok ke tebing tali air berdekatan rumahnya di Kampung Titi Serong di sini kelmarin.




Tragedi pada pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika mangsa mahu meniti sebuah titi berdekatan rumahnya.

Motosikal itu dan mangsa yang baru pertama kali menunggang motosikal tersebut secara sendirian terjunam ke dalam tali air berkenaan.

Muka Siti Hajar telah tersembam ke dalam tali air itu dan memburukkan lagi keadaan mangsa apabila badan dan kepalanya dihempap motosikal tersebut.

Akibatnya Siti Hajar ditemui mati lemas dalam tali air yang paras airnya ketika itu cuma setakat buku lali.

Mayat Siti Hajar hanya ditemui hampir empat jam selepas kejadian itu oleh abangnya, Mohd. Nor Badrulllhisham.

Semasa kejadian mangsa dikatakan tinggal bersama datuknya di rumah.


Inilah motosikal yang ditunggangi Siti Hajar sebelum ia terbabas ke tebing tali air di Kampung Titi Serong, Kuala Perlis, Kangar semalam.


Cerita Mohd. Nor, 15, dia yang pulang ke rumah pada pukul 1 petang hairan apabila tidak nampak kelibat adiknya sebelum dia kemudian pergi mencarinya di beberapa rumah jiran.

"Namun tidak juga jumpa Siti Hajar, merata sudah saya mencari.

"Selepas dua jam mencari saya kemudian ternampak motosikal Honda C70 bapa menindih Siti Hajar dalam tali air itu," ceritanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini malam kelmarin.

Katanya, ketika itu Siti Hajar sudah tidak bernyawa lagi.