Terengganu bina dua jambatan baru RM400 juta


KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri akan membina dua jambatan baru melibatkan peruntukan kira-kira RM400 juta pada tahun depan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud.

:Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Yahya Khatib Mohamad berkata, jambatan akan dibina itu adalah yang menghubungkan Kampung Jeram Tokkong yang merentangi Sungai Nerus.

Menurutnya, sebuah lagi jambatan adalah menghubungkan Kampung Teluk Pasu-Pulau Sekati-Muzium di Losong yang merentangi Sungai Terengganu.

“Kerajaan memberi keutamaan untuk membina jambatan Teluk Pasuk-Pulau Sekati-Muzium bagi mengatasi kesesakan yang bertambah serius di Jambatan Sultan Mahmud sekarang,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini semalam.

Beliau berkata, kedua-dua jambatan sepanjang kira-kira satu setengah kilometer tersebut masing-masing berharga kira-kira RM200 juta dan kini proses pelantikan konsultan sedang dilakukan manakala kerja kenal pasti jajaran sedang dilakukan.

Katanya, jambatan tersebut yang sudah lama dirancang hanya membuat dua lorong, tetapi ia perlu diubahsuai kerana perlu diperlebarkan menjadi empat lorong bagi melancarkan perjalanan lalu lintas.

“Kerja pengambilan balik tanah untuk pembinaan jalan jambatan berkenaan masih lagi dalam proses menyebabkan ia tergendala,” katanya.