Untung sedikit, rugi berganda

Oleh KHAIRI MOHAMAD


PESALAH PERTAMA... Inilah stesen minyak dan kereta yang disita di Pengkalan Kubor, Kelantan ekoran kegiatan penjualan petrol melebihi had.


PENGKALAN KUBOR - Seorang pengusaha stesen minyak di pekan Rantau Panjang di sini terpaksa berputih mata melihat stesen miliknya disita oleh pihak berkuasa selepas membenarkan warga asing membeli minyak melebihi 20 liter malam kelmarin.

Tindakannya itu bukan sahaja menyebabkan stesen minyak itu menjadi yang pertama disita atas kesalahan tersebut di negara ini tetapi juga menyebabkan pemiliknya berhadapan dengan kerugian besar apabila kesemua 46,400 liter minyak RON95 bernilai RM92,000 dirampas.

Kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha itu dikesan menerusi satu operasi bersepadu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin.