Pelbagai pihak hulur bantuan

KUALA TERENGGANU: “Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Harian Metro kerana memaparkan kisah kedaifan hidup saya sekeluarga hingga mendapat perhatian pelbagai pihak yang sudi menghulurkan sumbangan,” kata Faridah Yusof, 55 dari Kampung Paya Bunga, dekat sini.

Katanya, dia begitu terharu kerana penderitaannya mendapat pembelaan sewajarnya dan berharap kisah hidupnya menjadi iktibar kepada insan lain.


“Saya seperti mendapat sinar baru dan akan memanfaatkan sepenuhnya bantuan dihulurkan bagi menjamin masa depan anak-anak dan keluarga.


“Duka meneguk air kosong untuk mengalas perut mungkin dapat dilupakan dan perbelanjaan harian dapat diringankan,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Mohd Sabri Alwi yang turut melawat Faridah berkata, pihaknya meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) lebih prihatin terhadap nasib rakyat miskin.