35 Laporan Kesan Buruk Produk Sibutramine


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melalui Program Pemantauan Kesan Advers Ubat telah menerima 35 laporan kesan buruk yang melibatkan penggunaan produk Sibutramine, yang digantung Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan hari ini berkata, empat daripada laporan itu mendapati pesakit mengalami kesan kardiovaskular iaitu palpitation (denyutan jantung) dan satu laporan infarkasi miokardium (bukan fatal).

Beliau berkata, kementerian melalui badan regulatorinya iaitu Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah menerima maklumat mengenai penggantungan produk yang mengandungi Sibutramine oleh pihak EMA.

Hasil kajian interim menunjukkan pesakit-pesakit telah mengalami kesan kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok bukan fatal dengan kadar yang lebih tinggi berbanding dengan kumpulan yang menerima ubat-ubatan plasebo.

Untuk Sibutramine, ia dikontraindikasi bagi pesakit yang mempunyai sejarah penyakit arteri koronari, kegagalan jantung kengestif, penyakit arteri periferal, arrithmia, strok dan hipertensi tidak terkawal.

Mohd Ismail berkata, setakat ini, PBKD telah mendaftarkan sebanyak sembilan produk yang mengandungi Subtramine dan kesemua maklumat ini telah dimasukkan dalam sisip bungkusan produk-produk yang telah didaftarkan ini di bahagian kontraindikasi/amaran.

Beliau berkata, PBKD akan mengarahkan supaya semua pemegang pendaftaran produk Sibutramine untuk mengeluarkan surat kepada pengamal perubatan mengenai maklumat terbaru ini.

"PBKD akan terus memantau situasi ini serta mengkaji sebarang maklumat baru yang diterima mengenai produk ini untuk tindakan lanjut regulatori," katanya. - BERNAMA