Ciuman terakhir cucu sebelum ditemui lemas:



HULU TERENGGANU - “Beberapa malam lalu adik ada memberitahu dia rasa tidak bersemangat. Selepas itu dia mencium makcik bertalu-talu sambil menyatakan dia sungguh-sungguh menyayangi makcik, tidak sangka pula cucu kesayangan makcik telah tiada,” cerita Cik Permai Che Ngah, 78.

Cik Permai adalah nenek kepada Muhammad Harris Helmi Md Rodzi, 8, kanak-kanak yang ditemui mati lemas di Sungai Felda Bukit Bading, di sini, kira-kira jam 6 petang kelmarin, sewaktu mangsa dan dua rakannya mandi-manda di sungai berkenaan.

Sebelum kejadian, mangsa bersama sepupunya, Mohamad Hasrol Hafiz Mohd Shukor, 10, dan rakannya Mohd Alif Daniel Mohamad, 9, berbasikal ke sungai berkenaan untuk mandi-manda.

Malangnya ketika itu mangsa dikatakan mandi di kawasan tengah sungai sehingga menyebabkan dia tenggelam.

Cik Permai berkata, walaupun sukar menerima kenyataan cucu dipanggilnya adik itu telah tiada, dia tetap reda dan pastinya lauk ayam goreng serta sambal belacan sentiasa membuatkan dia teringat kepada cucunya itu.