KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu telah melantik perunding bagi mengkaji segala keperluan dan prasarana untuk menjadikan Kuala Nerus sebagai daerah kelapan negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, langkah itu dilihat perlu memandangkan pada masa ini penduduk kawasan tersebut terpaksa berkongsi kemudahan dengan penduduk Kuala Terengganu.

Keadaan itu katanya menimbulkan kesesakan di sesetengah jabatan kerajaan dan jika Kuala Nerus menjadi daerah, penduduknya akan mempunyai kemudahan sendiri seperti hospital, pejabat tanah, pejabat daerah, pejabat pelajaran dan sebagainya.

Ahmad bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan timbul halangan dalam usaha itu memandangkan pembentukan daerah baru melibatkan proses persempadanan semula yang memerlukan kelulusan dua pertiga di Parlimen.

"Oleh itu kita berharap pada pilihan raya umum ke-13 nanti kita mendapat sokongan padu daripada rakyat untuk memperolehi majoriti cemerlang bagi membolehkan daerah baru ini diwujudkan," katanya.

Pada masa ini Terengganu terdiri daripada tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan negeri kini mengkaji untuk mendalamkan Sungai Terengganu bagi menyediakan perkhidmatan penyusuran sungai sebagai tarikan pelancong.

"Kita akan gali Sungai Terengganu dari Jambatan Sultan Mahmud hingga ke Muzium Negeri di Losong bagi membolehkan bot-bot pelancongan menyusuri Sungai Terengganu dan tanah yang digali itu akan ditambak di Pulau Wan Man untuk dijadikan penempatan baru.

"Kita rancang untuk menempatkan 100 keluarga di situ bagi membolehkan Masjid Kristal diguna untuk solat Jumaat kerana pada masa sekarang masjid itu hanya boleh digunakan untuk solat fardhu biasa sahaja disebabkan kekurangan permastautin tetap," katanya.

Selain itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri juga telah menempah dua buah bot penambang yang moden bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk Seberang Takir untuk ke bandar Kuala Terengganu.

"Bot berkenaan yang berharga RM250,000 dijangka siap pada Februari ini akan dikendalikan oleh Persatuan Bot Penambang Seberang Takir itu dan masing-masing boleh membawa sehingga 20 penumpang untuk satu perjalanan," katanya. - BERNAMA