Pontianak Mengamuk di Kuala Ibai

K'jaan Negeri Campurtangan...

KUALA TERENGGANU: Cerita mengenai pontianak mengamuk dan berkeliaran di sebuah kampung di Kuala Ibai sehingga mencetuskan satu fenomena seram memaksa kerajaan negeri campurtangan dengan berkata pembangunan negeri itu akan terbantut sekiranya rakyat asyik bercakap mengenai hantu.

Timbalan Pengerusi Penerangan dan Agama Negeri, Muhammad Ramli Nuh ketika berkata demikian menegaskan, kepercayaan karut seperti itu tidak akan membawa rakyat Terengganu ke hadapan.

Katanya, ia juga akan menjejaskan hasrat dan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan minda dan pemikiran rakyat ke arah kecemerlangan dan kejayaan.

"Kalau iya sekali pun pontianak tu wujud, biarkanlah dia berkeliaran dan tumpukan perhatian kepada pembangunan diri, minda dan negeri," tegas beliau.

Malah menurut beliau, mereka yang menyebarkan cerita pontianak mengamuk ini sebenarnya tidak ada kerja lain yang hendak dibuat dan patut mendaftarkan diri mereka dalam kelas-kelas agama atau menjalankan kerja-kerja yang lebih berfaedah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian seram yang dikatakan melanda seluruh masyarakat Kampung Tok Adis dekat sini minggu lalu yang gempar dengan cakap-cakap kehadiran pontianak pada waktu malam.

Para penduduk kampung berkenaan mendakwa kehidupan mereka telah terganggu oleh kehadiran pontianak sejak majlis gotong royong membersihkan kubur dilakukan, Isnin lalu.

Khabar angin mengenai kehadiran pontianak di kampung itu telah menjejaskan aktiviti harian masyarakat malah berita mengenainya telah tersebar ke seluruh negeri.