Pesta dadah dalam bilik


KUALA TERENGGANU – Seorang bapa yang sedang tidur terkejut apabila sepasukan polis menyerbu rumahnya di Jalan Pantai, Tanjung, di sini, kelmarin lalu menangkap anak lelakinya bersama tiga rakan lain ketika berpesta dadah di bilik rumah berkenaan.

Lelaki berumur 40-an bersama isteri mendakwa mereka tidak mengetahui bilik itu dijadikan sebagai lokasi mengedar dan menghisap dadah beramai-ramai sehinggalah polis membuat serbuan mengejut.

Hasil serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu, polis menahan tiga lelaki termasuk dalang utama sindiket pengedaran dadah bersama teman wanitanya berumur 24 tahun yang bekerja sebagai promoter telefon sebuah syarikat telekomunikasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, ketika tangkapan dibuat, ketiga-tiga lelaki terbabit berada dalam keadaan khayal dipercayai mengambil dadah.

Menurutnya, berikutan tangkapan itu, pihaknya merampas syabu seberat 0.5 gram dan pil Wy sebanyak 800 biji bernilai RM40,000 tersorok di dalam ‘bilik rahsia’ berkenaan.

“Selain merampas dadah, kami turut menyita wang sebanyak RM8,400 dan tiga buah motosikal yang kesemuanya bernilai kira-kira RM20,000,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.