KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mahu Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang menawarkan kursus pendidikan duduk semeja bagi menyelesaikan masalah lambakan siswazah pendidikan. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, perbincangan terus dengan pihak IPT adalah penting bagi mengetahui punca sebenar masalah berkenaan terjadi. "Saya percaya dengan perbincangan antara kementerian dan IPT adalah penting dalam mencari masalah sebenar, menilai situasi semasa dan kehendak industri. "Perbincangan antara pihak-pihak ini saya percaya dapat menyelesaikan masalah lambakan siswazah pendidikan," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini. Lok juga tidak menolak masalah itu berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengutamakan lepasan pelatih dari maktab perguruan milik kerajaan sebagai keutamaan dalam menempatkan guru-guru di sekolah. Semalam Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu guru ijazah pendidikan yang gagal mendapat penempatan mengajar dapat diselesaikan jika ada pengunjuran yang tepat antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Dalam pada itu, menurut Lok masalah menjadi lebih buruk apabila bilangan guru yang tamat pelajaran daripada kesemua IPT terbabit bertambah mengakibatkan lambakan siswazah menggangur. Bagaimanapun katanya, apa yang lebih penting adalah kerajaan mengambil tahu apa yang pihak sekolah mahukan supaya masalah itu tidak terus berlarutan. "Jika ramai pelajar yang mengambil kursus Bahasa Melayu dan permintaan terhadap guru subjek Bahasa Melayu menurun, mengapa perlu ditawarkan lagi subjek berkenaan kepada pelajar. "Itu antara punca mengapa mereka tidak dapat tempat penempatan mengajar kerana itu bukan permintaan industri," ujarnya. Beliau turut menegaskan NUTP mahu kursus perguruan lepasan ijazah yang sebelum ini mengambil masa setahun ditambah kepada tiga sehingga empat tahun pada masa depan. "Ini penting dalam melahirkan guru yang berkaliber dan lebih efisyen," katanya lagi.
Battery Reconditioning
6 years ago