Pemimpin digesa turun padang

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD


Hishammuddin Hussein mengikat tali kasut Ahmad Asyraf Mohd. Mokhid dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring sambil diperhatikan oleh Ahmad Said pada penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar sempena Program Juara Rakyat peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Teknik, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 22 Jan. – Kepimpinan UMNO negeri perlu turun padang menemui rakyat bagi menyelami hati nurani mereka seiring dengan Program Juara Rakyat yang diperkenalkan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, agenda Program Juara Rakyat adalah tertumpu kepada gerak kerja untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, program ini seharusnya disokong oleh kepimpinan UMNO di pelbagai peringkat dengan menyusun program-program yang hampir dengan kehendak rakyat.

“Kita putuskan dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri semalam bahawa apa yang dirancang oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak akan kita teruskan.

“Berbekal dengan semangat dan iltizam itulah kita mahukan Program Juara Rakyat dijadikan kaedah sebagai saluran mendekati rakyat,” katanya selepas melancarkan Program Juara Rakyat-Pendidikan di Sekolah Menengah Teknik Terengganu, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan pemimpin UMNO pelbagai peringkat.

Mengenai peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri pada pilihan raya umum akan datang, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, peluang kemenangan amat besar dan tidak seharusnya diragui sesiapa.

“Semua permasalahan dalaman dapat ditangani dengan baik dan apa yang penting kita perlu tingkatkan perpaduan dan penyatuan sesama sendiri.

“Agenda kita bukan untuk memenangkan mana-mana kumpulan atau individu tetapi ini adalah agenda lebih besar,” katanya.