Isteri Berendam Airmata
Saya seorang isteri yang berumur awal 20-an dan baru mendirikan rumah tangga. Di awal perhubungan bersama suami, saya mendapat tentangan yang kuat dari pihak keluarga. Tapi tanpa berfikir panjang, saya lari ke Thailand bersama suami untuk bernikah. Kami tahu apa yang kami lakukan adalah salah di sisi undang-undang tapi kami tiada cara lain untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Dengan sejarah silam saya, suami sanggup menerima saya sebagai isterinya yang sah. Suami adalah seorang duda yang mempunyai tiga orang anak. Kesemuanya lelaki. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menerima tiga orang anaknya sebagai anak saya sendiri.
Masalahnya suami kurang bertanggung jawab dalam mendidik anak-anak. Seawal pagi suami telah keluar bekerja dan balik lewat petang. Semua hal di rumah diserahkan kepada saya. Pandai-pandailah
saya menjaga anak-anak. Menyediakan makan minum untuk mereka. Suami pula, pulang dari bekerja hanya merehatkan diri di rumah tanpa menolong saya melakukan kerja-kerja rumah. Saya tahu suami penat bekerja tapi saya di rumah pun melakukan kerja-kerja rumah juga. Apa salahnya suami saling tolong menolong? Lebih dari itu, suami tidak pernah mendirikan solat apatah lagi mengajar saya tentang seluk belok agama. Terpulang kepada saya sendiri untuk mendalami ilmu agama. Solat lima waktu tidak pernah sekali pun saya nampak, inikan pula solat Jumaat yang sekali dalam seminggu.
Bukan saya tidak pernah menegur suami untuk bersolat. Tapi suami tidak pernah hiraukan. Apa yang bermain di fikiran saya, adakah suami memang tidak pernah bersolat ke sebelum ini? Atau dia tidak tahu bersolat Suami juga tidak pernah menekankan soal agama kepada anak-anak. Anak-anak tidak dihantar ke sekolah agama. Saya mengalami tekanan yang kuat dalam pengurusan rumah tangga. Tanggungjawab yang besar menjaga tiga orang anak yang kesemuanya lelaki. Anak- anak tidak pernah menolong melakukan kerja-kerja rumah. Rumah sentiasa bersepah.
Bagi saya perkahwinan sebenarnya lebih menguntungkan lelaki kerana mereka dapat buktikan kejantanan kepada kawan-kawan apabila isteri hamil, dapat pengurus tetap menjaga kain baju mereka, dapat tukang masak percuma, dapat seks halal. Isteri pula dapat apa? Tugas bertambah dan silap hari bulan berendam air mata. Itulah yang terjadi kepada saya. Selalu berendam air mata apabila mengenangkan nasib saya. Saya sayangkan suami dan keluarga ini tapi suami tidak pernah faham tentang perasaan saya. Semua tugas diserahkan kepada saya. Saya inginkan suami yang bertanggungjawab dalam mendidik saya serta anak-anak. Memberikan kerjasama dalam pengurusan rumah tangga. Saling bantu-membantu. Saya berharap pihak kaunselor dapat membantu menyelesaikan masalah saya dan sikit sebanyak dapat memberikan saya semangat yang baru dalam pengurusan rumah tangga.
Selanjutnya di dalam majalah MINGGUAN WANITA minggu ini.
Battery Reconditioning
6 years ago