Kereta tangki minyak 1,000 liter

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN


CHE MAN menunjukkan dua lubang tangki minyak yang diubah suai pada sebuah kereta untuk menyeludup petrol di Balai Polis Padang Besar, Perlis semalam.


PADANG BESAR - Jika sebelum ini, trak pikap dan motosikal menjadi medium kumpulan penyeludup bagi melakukan pengubahsuaian pada tangki agar dapat mengisi lebih banyak bahan bakar subsidi, namun lain pula penemuan polis di sini kelmarin.

Terbaru, polis merampas sebuah kereta kompak yang diubah suai sepenuhnya pada bahagian penumpang dengan menempatkan tangki minyak tambahan sehingga mampu mengisi petrol sehingga 1,000 liter pada satu masa.

Kereta kompak jenis Ford Laser S dengan nombor pendaftaran tempatan itu dirampas setelah ditinggalkan pemandunya dalam serbuan polis di sebuah stesen minyak di Jalan Padang Besar, kira-kira pukul 12.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros berkata, kereta tersebut dilihat dalam keadaan mencurigakan semasa polis membuat rondaan dan ketika dihampiri di sebuah stesen minyak, pemandu kereta itu lari meninggalkan kenderaannya.