Ekori lelaki bongkar sindiket


JERTIH: Tindakan bijak sepasukan anggota polis mengekori dua lelaki yang disyaki menaiki motosikal curi hingga ke rumah mereka membongkar kegiatan sekumpulan penjenayah yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sekitar daerah ini.

Polis mengekori dua lelaki itu Isnin lalu selepas mendapati motosikal dinaiki mereka mempunyai rekod dilaporkan hilang di Kota Bharu, Kelantan, tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata sebaik kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an iitu tiba di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jabi, kira-kira jam 2 petang, mereka ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Kampung Apal dan Kampung Kerandang, dekat Jertih, turut didapati memiliki dadah.

“Selepas disoal siasat, polis mendapati mereka juga terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di kawasan Besut iaitu sekitar Jertih dan Kampung Raja,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, polis turut menahan dua wanita berusia 22 tahun di Seberang Jertih kerana disyaki membeli barang curi sebelum merampas lima jam tangan, tiga kamera digital, tiga kamera video dan empat komputer riba.

Tangkapan itu dibuat 15 Januari lalu dan kes disiasat mengikut seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda dan sebatan.

Semua suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk membantu siasatan.