Tawaran netbook terhebat TM

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


KAKITANGAN TM beratur panjang untuk melanggan pakej Streamyx yang menawarkan netbook percuma di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia (TM) menawarkan komputermini atau netbook kepada 25,000 kakitangannya di seluruh negara dengan mensyaratkan mereka hanya perlu menambah bayaran bulanan sebanyak RM10 selama 36 bulan bagi pakej jalur lebar Streamyx.

Menerusi pakej Netbook Staff Pack, setiap kakitangan TM boleh membuat pendaftaran baru atau menaik taraf pakej Streamyx masing-masing bagi membawa pulang netbook jenama HP itu.

Naib Presiden Produk Runcit TM, Azizi A. Hadi berkata, pakej itu mendapat sambutan hangat selepas ditawarkan sejak kelmarin.

"Pakej itu sah sehingga ke satu tempoh yang akan diberitahu kelak,'' jelasnya pada program pengenalan pakej itu di ibu pejabat TM di sini semalam.