Penagih dadah mengaku bersalah miliki peluru



BESUT – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, masing-masing bagi pertuduhan memiliki peluru tanpa lesen, sebilah pisau dan juga menagih dadah.

Lelaki berumur 31 tahun itu mengaku bersalah melakukan semua kesalahan itu di dalam sebuah kereta di Kampung Gong Kepas Dalam, di sini, 5 Januari lalu.

Bagi pertuduhan memiliki 13 butir peluru tertulis N, sebutir peluru hidup sembilan milimeter dan anak peluru, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

Selain itu, dia juga dituduh kerana menagih dadah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000.

Dalam fakta kes pertuduhan dibuat, pada 5 Januari lalu kira-kira jam 6.10 pagi, sepasukan polis menyerbu di sebuah rumah di Kampung Gong Kepas Dalam dan telah memeriksa seorang tertuduh sedang tidur di tempat duduk belakang sebuah kereta jenis Proton Wira.

Apabila diperiksa, terdapat uncang warna kekuningan dan di dalamnya pula mengandungi peluru.

Selepas pemeriksaan lanjut pada bahagian badan tertuduh polis turut menemui sebilah pisau terselit di belakang pinggang sebelah kirinya.

Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kesalahan pertama dan RM3,000 bagi kesalahan kedua dengan seorang penjamin.

Ahmad Adha menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya NoorAzlinawati Mohd Arshad, sementara tertuduh pula tidak diwakili peguam.