KUALA TERENGGANU – Gara-gara tiada lesen memandu, seorang remaja bawah umur nekad merempuh sekatan jalan raya bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang dalam kejadian di Jalan Banggol, di sini, Sabtu lalu.
Remaja lelaki berumur 17 tahun dari Kampung Kuala Bekah, Manir itu dikatakan bertindak berani memecut motosikal bagi melepasi sekatan berkenaan dengan melanggar seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas kira-kira jam 9.30 malam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan berkata, tindakan itu akhirnya membawa padah apabila motosikal yang dinaiki suspek bersama seorang pembonceng wanita berumur 17 tahun terjatuh di tempat kejadian.
“Anggota polis terbabit yang bertugas bersama lima anggota lain pada mulanya cuba menghentikan motosikal suspek tetapi remaja itu terus memecut sehingga melanggar pengadu dan motosikal dinaikinya turut terjatuh.
“Akibat rempuhan itu, anggota terbabit terpaksa menerima rawatan, sementara pembonceng wanita dari Kampung Banggol Tok Jam, Manir cedera pada bahagian lengan, bahu dan belakang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Menurutnya, berikutan itu kedua-dua remaja terbabit kini ditahan reman sehingga semalam dan mereka dikenal pasti tidak bersekolah serta menganggur.
Manoharan berkata, anggota polis berumur 21 tahun yang dilanggar kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada hari sama.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.
Battery Reconditioning
6 years ago