Tarikh sebat Kartika diketahui bulan depan

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK

KUANTAN - Tarikh pelaksanaan hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, yang menjadi persoalan ramai selama ini akan diketahui bulan depan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, ada kewajaran tarikh hukuman itu disegerakan kerana ia sudah menjadi isu sensitif yang mencetuskan perdebatan pelbagai pihak.

"Saya akui isu ini begitu sensitif, jadi kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya ia tidak lagi berpanjangan.

"Saya beri tempoh sebulan lagi untuk selesaikan segala masalah dan mencari punca-punca yang menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan segera,''' titah baginda kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Insentif Sukan Sea Laos 2009 di Hotel MS Garden di sini.