Mati dalam kereta



DUNGUN - Hasrat seorang pengurus syarikat perkapalan menemui orang tersayang sempena cuti hujung minggu tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di dalam kenderaannya di kawasan sebuah stesen minyak, berdekatan Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, mangsa dikenali sebagai Zainuddin Ismail ,48, yang juga pengurus kanan syarikat perkapalan beribu pejabat di Kuala Lumpur ditemui mati di dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Honda CRV oleh seorang pekerja stesen minyak terbabit, kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Menurutnya, sebaik mendapat maklumat mengenai penemuan mayat berkenaan, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan tertangkup di celah antara bahagian tempat duduk hadapan dan belakang.

Dahlan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa, namun mayat mangsa terpaksa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan dia dipercayai mati beberapa jam sebelum ditemui berdasarkan :keadaan mayatnya yang mengalami bengkak di beberapa anggota badan.

“Hasil bedah siasat dilakukan sepasukan pakar forensik akhirnya mengesahkan kematian mangsa disebabkan serangan jantung,” katanya.