Wajib bayar zakat


Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my




Hukum akan menjadi sebaliknya apabila seseorang wanita berasakan tidak mampu 

"SAYA tidak pernah membayar zakat fitrah untuk diri dan keluarga. Adakah wanita seperti saya juga wajib membayar zakat fitrah?" Itu adalah antara persoalan yang sering timbul di kalangan wanita yang tidak jelas dengan kewajipan membayar zakat fitrah. Selain kurang memahami mengenai prosedur pembayaran zakat, wanita juga sudah terbiasa dilunaskan 'hutang badannya' oleh bapa sebelum berumahtangga dan apabila sudah bergelar isteri, tanggungjawab itu akan beralih pula kepada si suami. 

Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, berkata zakat fitrah bermaksud zakat badan yang diwajibkan ke atas individu lelaki dan perempuan beragama Islam selagi masih berkemampuan dengan syarat seperti ditetapkan.

Katanya, tujuan membayar zakat adalah untuk menebus kesalahan yang berlaku sepanjang mengerjakan amalan puasa pada bulan Ramadan. 

“Perkataan fitrah merujuk kepada keadaan manusia saat baru diciptakan sehingga dengan mengeluarkan zakat ini manusia dengan izin Allah akan kembali kepada fitrah, manakala berkemampuan yang dimaksudkan juga terlalu sempit iaitu individu yang mempunyai makanan atau harta lebih daripada keperluan tanggungannya pada malam raya dan pagi Aidilfitri. 

“Justeru, apabila hukumnya wajib terhadap orang yang mampu selagi dia masih di dalam Islam, kewajipannya tidak terkecuali sama ada ke atas lelaki atau perempuan dan hukum mengabaikan amalan wajib adalah berdosa besar,” katanya.

Bagaimanapun, Zawiah berkata, syarat wajib membayar zakat bagi seorang anak perempuan masih di bawah tanggungjawab bapa, manakala isteri pula dipertanggungjawabkan kepada suami. 

“Bagi isteri yang masih di dalam edah ketika bulan puasa, tanggungjawab itu masih di tangan suami sama seperti kewajipan membayar nafkah sehinggalah edah tamat. 

“Tapi jika ayah enggan atau suami liat membayar zakat untuk anak atau isterinya, wanita berkenaan boleh melunaskan hutang itu menggunakan wangnya sendiri selagi dia mampu, malah dia juga boleh membayarkan zakat fitrah untuk suami dan tanggungannya yang lain juga,” katanya. 

Dalam hubungan ini, ibu tunggal juga tidak terkecuali membayar zakat fitrah termasuk melunaskan untuk tanggungannya.

Kata Zawiah, hukum wajib akan gugur dengan sendiri jika empunya diri berasakan tersepit sehingga terpaksa mengatur perbelanjaan bagi mencukupkan perbelanjaan harian sepanjang berpuasa. 

“Nilai bayaran zakat fitrah terlalu kecil iaitu bersamaan segantang beras dan tidak salah jika wanita ingin membayar zakat dirinya walaupun suami atau ayah juga melakukan perkara sama. Anggap saja bayaran yang dibuat selepas bayaran pertama sebagai sedekah kerana balasan Allah berikan kepada umat-Nya yang bersedekah pada Ramadan bagi meringankan beban mereka yang berpuasa sungguh besar,” katanya. 

Bagaimanapun, Zawiah mengingatkan individu yang ingin membayar zakat fitrah supaya segera melakukannya pada awal Ramadan bagi membolehkan pengagihan wang sedekah kepada golongan fakir dan miskin dapat disegerakan. 

“Pembayar zakat wanita juga boleh membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik di seluruh negara dan terkini, pelbagai kaedah moden termasuk bayaran melalui sistem pesanan ringkas dan internet juga boleh dilakukan bagi memudahkan umat Islam menjalankan kewajipan,” katanya. 

INFO
Syarat wajib membayar zakat fitrah:
 

  •  Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi Hari Raya 

  •  Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari 

  •  Memeluk Islam sebelum terbenam matahari akhir Ramadan dan tetap dalam Islamnya 

  •  Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.