Oleh SHUHAIDA MOHD SAID ALOR SETAR: Bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan berkonsepkan 'car boot sale', suri rumah Shahira Mohd Tajudin, 25, kini boleh berbangga kerana pada usia yang begitu muda beliau sudah bergelar usahawan dan memiliki butik sendiri. Shahira, yang berkelulusan bidang hiasan dalaman daripada universiti swasta tempatan berkata, cita-citanya menjadi usahawan telah mendorongnya memulakan perniagaan kecil-kecilan di rumah empat tahun lalu dengan menggunakan modal daripada simpanan sendiri. Lebih mesra dengan panggilan Shira, ibu beranak tiga ini, tidak mudah mengalah walaupun terpaksa berhadapan dengan kesukaran mencari pelanggan kerana tidak mempunyai tapak yang tetap untuk menjalankan perniagaannya sebelum ini. "Apa juga bidang yang kita ceburi, perlu ada kesungguhan dan terpaksa menghadapi rintangan serta halangan untuk mematangkan diri, bukannya melemahkan semangat untuk berjaya. "Jadi tidak ada sebab kenapa seorang suri rumah atau golongan muda seperti saya harus menganggur tanpa berusaha melakukan sesuatu yang menguntungkan," katanya ketika ditemui. Shahira bermula dengan menghasilkan sendiri aksesori wanita seperti gelang, rantai, subang, perhiasan di beg tangan selain menerima tempahan kuih muih untuk hari raya atau majlis jamuan. Shahira berkata bidang usahawan menjanjikan pendapatan lumayan jika seseorang itu bersungguh-sungguh mengusahakannya. Berbekalkan keazaman dan pada masa yang sama percaya dengan ungkapan "usaha tangga kejayaan", beliau sanggup menanggung apa juga risiko dalam bidang usahawan. Wanita berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, beliau mengambil keputusan membuka butik sendiri setelah suaminya yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, mendapat tawaran untuk bermain dengan pasukan Kuala Muda Naza tahun lepas. Ini bermakna mereka akan menetap di Kedah dan peluang itulah yang mendorong beliau memberanikan diri menyewa sebuah premis di Bandar Darul Aman dekat sini untuk dijadikan premis perniagaannya. "Oleh kerana suami berasal dari sini, saya bertekad untuk menggunakan simpanan dan memohon sedikit pinjaman daripada Mara untuk membuka butik sendiri kerana ia akan memudahkan saya untuk berurusan dengan pelanggan yang semakin bertambah," katanya Kini selepas berjaya membuka butik sendiri yang diberi nama Shakriss empat bulan lalu, Shahira menjual pelbagai jenis pakaian seperti kemejaT, blaus, seluar, jeans, skirt dan kasut. Shahira, yang mempunyai kemahiran menjahit, menyolek dan memasak pelbagai jenis menu berkata, butiknya juga menyediakan perkhidmatan pakej perkahwinan, solekan untuk majlis rasmi serta mengambil upah menjahit manik pada baju kurung atau blaus. Untuk menampilkan kelainan, beliau memilih konsep moden dan terkini untuk menjanjikan keselesaan kepada pelanggan yang berkunjung ke butiknya. Shahira turut menyediakan menu seperti pasta, sandwic serta makanan ringan dan minuman untuk pelanggan yang ingin menjamu selera sambil membelibelah di butiknya. Kepada graduan muda yang belum bekerja, beliau menasihatkan mereka menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan tidak menjadikan kekurangan modal sebagai penghalang. "Seperti yang saya buat, saya tidak bermula dengan modal yang besar, sebaliknya bergantung kepada kesungguhan dan kerja keras," katanya. BERNAMA |