KUALA TERENGGANU - Sebahagian besar masyarakat Terengganu masih lagi percaya dan menggunakan khidmat bomoh atau dukun bagi merawat penyakit terutama membabitkan ilmu sihir serta syaitan.
Iman Besar negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, mempercayai dukun yang menggunakan najis dan benda haram adalah syirik kerana mereka bersekongkol bersama syaitan untuk membantu manusia.
Menurutnya, bagi mengubati penyakit akibat sihir ataupun ilmu hitam, masyarakat Islam digalakkan memilih bomoh yang mengaplikasikan ayat suci al-Quran, selain menepati ajaran Islam sebagai ikhtiar.
“Kita jangan mudah tertipu kerana ada dukun yang mencampurkan ajaran Islam iaitu ayat al-Quran dengan ilmu syaitan, ia salah kerana dua perkara bertentangan tidak boleh ada dalam satu tempat,” katanya.
Menurutnya, bomoh yang benar-benar amanah dan jujur adalah mereka yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya kepada Islam, selain sentiasa menjaga adab serta batas pergaulan dengan pesakit.
“Dukun yang mensyaratkan supaya pesakit hanya berdua-duaan dengannya tanpa ditemani muhrim ketika sesi rawatan di dalam bilik adalah tidak betul dan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Mempercayai dukun seumpama inilah yang menyebabkan berlakunya kes rogol, cabul dan dilarikan bomoh ketika dirawat, bagaimana�pun akibat terlalu taksub, mereka tidak serik dan masih lagi menggunakannya,” katanya.
Aizi Saidi berkata, antara punca yang menyebabkan masyarakat masih lagi mempercayai amalan bomoh kerana kekurangan ilmu agama dalam diri, selain kerapuhan iman dalam dada masing-masing.
“Kerajaan harus mengambil pendekatan serius terhadap perkara ini, termasuk mewajibkan bomoh mendaftarkan diri masing-masing bagi memudahkan pemantauan dibuat kerana mereka sebenarnya berniaga.
“Selain dapat diawasi, kita juga mudah mengesan sekiranya ada amalan dilakukan jelas bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.
Battery Reconditioning
6 years ago