'Cinta sejati hanya sekali'



OMAR SHARIF bersama aktres Cyrine Abdel Nour ketika bergambar untuk promosi filem El Mosafer di Venice.

VENICE: Aktor legenda, Omar Sharif, 77, mengakui hanya sekali menjalin cinta sejati iaitu dengan bekas isterinya yang juga aktres Mesir, Faten Hamama, ketika membincangkan kerjayanya dalam filem sempena pesta filem Venice, di sini, semalam.

Beliau muncul dalam filem El Mosafer (The Traveller) yang bertanding dalam kategori anugerah ‘Golden Lion’, menjelaskan perkahwinannya bertahan hingga 1974 kerana sering berkunjung ke sana sini untuk memenuhi komitmen filem.

“Sejak 1966, saya tidak pernah hidup dengan seorang wanita. Saya tinggal di hotel dan makan di restoran. Saya gembira dengan keadaan ini dan bukan mahu mengadu.

“Saya pernah jalin hubungan dengan beberapa wanita tetapi ia bukan cinta sejati. Cinta sejati hanya sekali dengan isteri saya, itu perlu dinyatakan,” katanya lagi.

Dalam filem terbaru arahan pengarah Ahmed Maher, Sharif memegang watak Hassan yang menerangkan perjalanan hidupnya pada tiga era iaitu 1948, 1973 dan 2001.

Meskipun diiktiraf sebagai bintang Hollywood selepas beraksi dalam filem klasik seperti ‘Lawrence of Arabia’ pada 1962 dan ‘Doctor Zhivago’ tiga tahun kemudian, Sharif mendedahkan keadaannya pada awal kerjaya di Amerika Syarikat tidak mudah.

“Sebagai seorang lelaki Arab tunggal bekerja di Hollywood, saya terpaksa berhati-hati. Contohnya, firma Columbia Pictures menandatangani kontrak lima tahun dengan saya apabila menyertai pembikinan Lawrence of Arabia tetapi mereka tidak langsung memberi bayaran.

“Apabila saya terbabit filem Doctor Zhivago, mereka jual saya kepada MGM pada harga AS$15,000 (RM52,500). Bayaran saya untuk filem itu juga AS$15,000.” - Reuters