Rampasan mercun terbesar Kuala Terengganu



KUALA TERENGGANU - Bagi mendapatkan keuntungan besar dengan cara mudah dalam tempoh singkat, seorang peniaga ikan di pasar Chabang Tiga sanggup menjual mercun kepada orang ramai sempena Aidilfitri ini.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 40 tahun itu akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis di rumahnya di Kampung Losong Megat Husin, di sini awal pagi semalam.

Hasil serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM20,000 dan ia rampasan terbesar bagi kawasan Kuala Terengganu setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Mohd Ishak berkata, antara mercun yang dirampas itu termasuklah 71 bungkusan mercun bola, lima kotak ‘golden dragon’ dan 237 kotak berisi bunga api.

“Kesemua mercun itu disembunyikan di dalam rumah dan suspek dipercayai mendapatkan bekalan tersebut daripada negara jiran sebelum dijual kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui semalam.