Anak ugut cederakan bapa kandung



KUALA TERENGGANU – Seorang anak sanggup mengugut untuk mencederakan bapa kandung sendiri hanya gara-gara dia enggan menyerahkan kembali kunci kereta milik orang tuanya dalam kejadian di Guntung Luar, Setiu, tiga hari lalu.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Guntung Luar melibatkan pengadu yang juga seorang peniaga berusia 45 tahun dengan anak lelakinya yang berusia 25 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam apabila suspek cuba bertindak memukul ayahnya dengan besi panjang selepas pengadu berhasrat mendapatkan kembali kunci keretanya.

Beliau berkata, suspek yang juga pe-nganggur tidak berpuas hati dengan permintaan ayahnya itu terus berkelakuan agresif sebaik sahaja mendengar permintaan tersebut, lalu dia terus mencapai sebatang besi panjang untuk memukulnya.

Katanya, tindakan suspek menimbulkan ketakutan kepada pengadu dan ahli keluarga lain sehingga kesemua mereka terpaksa melarikan diri dan bermalam di rumah anak mereka di Felda Chalok Barat.

“Pengadu pulang semula ke rumahnya kira-kira jam 7 pagi kelmarin tetapi suspek mengulangi perkara sama menyebabkan dia terpaksa melarikan diri buat kali kedua,” katanya kepada pemberita semalam.

Mohd Fauzi berkata, akibat tidak tahan dengan perangai suspek, pengadu akhirnya mengambil keputusan membuat lapo-ran di Balai Polis Permaisuri kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat, suspek sebelum itu telah mengambil kunci kereta tanpa kebenaran pengadu tetapi enggan menyerahkan semula kunci tersebut.

“Sebaik menerima laporan tersebut, polis terus bertindak menahan suspek untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut,” katanya.