Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

metra.mohamed@utusan.com.my


DIUJI dengan perceraian, Putri Mardiana tidak patah semangat dan akan teruskan karier sebagai pelakon.


BELUM pun lakonannya menerusi drama dan filem dapat disaksikan di kaca televisyen atau layar perak, namun tanpa diduga, pelakon yang baru hendak mencipta nama ini terpaksa melangkah ke dunia hiburan dengan 'populariti' kisah perceraiannya.

Disahkan bercerai secara taklik dengan talak satu, baru-baru ini, sana sini orang bertanyakan tentang dirinya itu lantaran masih belum dikenali oleh segenap pemerhati bidang seni tanah air.

Setakat yang diketahui, pemilik diri bernama Putri Mardiana Zainal Abidin ini merupakan pelakon utama filem Santau dan wakil tunggal negara yang menyertai Kejohanan Dunia Seni Persembahan(WCOPA) di Hollywood, California, Amerika Syarikat untuk kategori lakonan, Julai lepas.

Menerusi Santau terbitan MIG Production Sdn. Bhd. (MIG), Putri Mardiana bergandingan bersama Esma Daniel, Zul Handy Black, seniwati Mariani, Bob Lokman, Riezman Khuzaimi dan pelakon cilik, Farisya Fatin Faisal.

Ia akan ditayangkan di pawagam sekitar hujung tahun ini.

Bagaimanapun, di sebalik ujian yang melanda, Putri Mardiana seakan tercabar apabila dikatakan sengaja memilih waktu ini untuk bercerai dengan suaminya, Shahnaz Norwawi, bagi membantu menaikkan namanya.

Menafikan sekeras-kerasnya hal tersebut, Putri Mardiana yang nyata kesal dengan dakwaan itu bertindak menyuarakan perkara sebenar.

Bukan sengaja atau mahu 'mencipta' populariti murahan seperti yang dilemparkan, dia menjelaskan bahawa pergolakan rumah tangganya sudah berlaku sekian lama iaitu sebelum dirinya menceburi bidang seni.

"Berlakon bukanlah punca saya dan suami bercerai atau sudah tidak ada persefahaman. Sebelum berlakon lagi, kami sudah tidak ada komunikasi.

"Maaflah, saya bukannya sengaja atau memilih waktu ini dengan bercerai bagi meraih populariti. Bukannya saya yang hubungi wartawan untuk membuat liputan perceraian di mahkamah.

"Kalau boleh, saya sendiri mahu berita perceraian ini tidak dihebahkan,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Mama Murai di Restoran Lemon, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Selain Putri Mardiana, Mama Murai arahan Hashim Rejab membariskan pelakon seperti Kartina Aziz, Intan Ladyana, Sheila Mambo, Anne Abdullah, Mas Muharmi, Azad Jazmin, Bob Lokman dan Pekin.

Dalam drama berkenaan, Putri Mardiana memegang watak sebagai Liza, anak sulung Mama Murai (Kartina Aziz), yang nampak lembut dan baik hati tetapi sebaliknya adalah seorang hipokrit.

Pada 25 Ogos lalu, Putri Mardiana dan suami disahkan bercerai secara taklik dengan talak satu selepas Mahkamah Rendah Syariah Kajang mensabitkan talak yang dilafazkan melalui panggilan telefon.

Shahnaz, 32, selaku plaintif dalam keterangannya mengaku melafazkan kepada Putri Mardiana, 28, yang dinamakan sebagai defendan: "Kalau you keluar rumah tanpa izin atau tidak ada alasan yang munasabah, maka jatuhlah talak.''

Berkahwin sejak tahun 2003, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Aliawia Dani, 6, Amir Firman, 4 dan Airell Zuhair, 3.

Kehidupan baru Putri Mardiana

Menyambung bicara, Putri Mardiana memberitahu, selepas bercerai, dia kini terpaksa tabah dan bekerja keras bagi menampung kehidupan.

"Inilah permulaan hidup baru saya. Biarlah apa orang hendak kata, sekarang ini tumpuan saya adalah pada karier.

"Dahulu memang saya tidak bekerja. Kini saya amat bersyukur kerana ada pihak yang sudi menawarkan berlakon,'' katanya.

Ditanya mengenai soal anak-anak, Putri Mardiana berkata, ketiga-tiga mereka kini menetap bersama bekas suaminya.

"Kami akan berbincang secara baik. Walaupun mereka tinggal bersama bekas suami, saya mengharapkan agar dia memberi peluang agar saya dapat menemui anak-anak,'' jelasnya yang akan menyambut Aidilfitri bersama ahli keluarga di Sitiawan, Perak, nanti.

Ketika diajukan persoalan tentang punca pergolakan rumah tangga, Putri Mardiana bagaimanapun enggan untuk menceritakan segalanya.

"Saya tidak mahu aibkan sesiapa. Biarlah saya pendam sendiri. Apa yang penting, kehidupan perlu diteruskan,'' ujarnya.

Perkembangan karier

Selain Santau dan Mama Murai, Putri Mardiana kini sedang menjalani penggambaran dramaLegasi 43 Karat serta sebuah telemovie berjudul Duda Dan Dara.

"Insya - Allah, selepas Aidilfitri nanti, saya akan terlibat dengan sebuah lagi drama bersiri,'' katanya.

Diajak berbicara soal Mama Murai, Putri Mardiana berkata, menerusi drama bersiri itu, dia terpaksa bercakap loghat utara khususnya Pulau Pinang.

"Walaupun saya orang Perak, tetapi agak sukar saya hendak berkomunikasi loghat Pulau Pinang. Sebelum terima tawaran ini pun saya sudah berterus-terang kepada pengarah mengenai hal tersebut.

"Namun, saya terima tawaran ini sebagai satu cabaran. Lama-kelamaan nanti saya pasti mampu untuk menutur loghat Pulau Pinang,'' tambahnya.