Pameran mega raja sehari





Melangsungkan perkahwinan merupakan impian bagi setiap pasangan yang berkasih. Ia bagai memateri satu riwayat cinta dan bermulanya gerbang rumah tangga.

Namun untuk melakar impian perkahwinan yang meriah dan membahagiakan dalam minda cukup mudah. Proses persiapan untuk menjadikannya satu realiti amat rumit dan memerlukan perancangan rapi.

Justeru, bagi meringankan beban dan menyuntik idea menarik kepada pasangan berkasih yang bakal mendirikan rumah tangga, Hotel Nikko Kuala Lumpur mengambil inisiatif tersendiri.

Bermula pada 3 dan 4 Oktober ini, hotel yang terletak berhampiran pusat beli-belah Suria KLCC dan gedung Ampang Park itu menganjurkan pameran perkahwinan besar-besaran.


PELBAGAI perkhidmatan perkahwinan dipamerkan di Pameran Perkahwinan Hotel Nikko yang berlangsung selama dua hari di Kuala Lumpur.


Pameran yang berkonsepkan segala-galanya di bawah satu bumbung mempamerkan seleksi perkhidmatan dan busana perkahwinan yang diperlukan oleh pasangan yang akan melangkah ke jinjang pelamin.

Ironinya, sebut sahaja mengenai perkahwinan kebanyakan pasangan akan memikirkan tentang bajet yang diperlukan dan tema perkahwinan yang bersesuaian. Enggan membiarkan bakal mempelai menemui jalan buntu, pihak Hotel Nikko akan mendirikan beberapa set pelamin dan mencipta atmosfera perkahwinan bermula daripada tradisi masyarakat Melayu, Cina, India sehinggalah perkahwinan konsep Barat dan moden.

Pada masa yang sama pameran perkahwinan gilang-gemilang itu juga menawarkan perkhidmatan gubahan bunga, hantaran dan pertunjukan fesyen gaun malam oleh pereka berbakat besar, Carven Ong dan gaun romantik daripada pereka tempatan, Kartini Illias.




Menariknya pengunjung juga berpeluang melihat contoh-contoh rakaman video gerai Dave Lab yang menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus. Sementara itu, tapak pameran The Profesional Gallery dan Bonnie Yap Photography pula menyediakan khidmat jurugambar perkahwinan.

Lebih istimewa lagi, pasangan yang memilih Hotel Nikko sebagai lokasi melangsungkan perkahwinan berpeluang mendapat rawatan spa pada harga promosi RM488 di Sompoton Spa. Pakej itu juga termasuk rawatan kuku dan set rawatan spa di rumah yang bernilai RM252.

Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pameran itu, datanglah ke pameran perkahwinan Hotel Nikko.