"DAN bacakanlah di dalam kitab al-Quran ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar dan ia seorang Nabi." (Maryam:56) Sesetengah mendakwa baginda dilahirkan di kawasan Babil (sebuah wilayah di Iraq), manakala yang lain mengatakan di Mesir. Bagi orang Ibrani, baginda dipanggil sebagai Khanukh (Arab ialah Ukhnukh).
Nabi Idris a.s (Inggeris, Enoch) seorang daripada nabi dan rasul yang diterangkan di dalam kitab suci al-Quran serta menjadi kewajipan bagi setiap Muslim mempercayai kenabian dan kerasulannya.
Baginda a.s adalah Bani Adam yang pertama diberikan kenabian selepas Nabi Adam dan Syis.
Ilmuan berbeza pendapat mengenai kelahiran dan kehidupan baginda.Nama penuh baginda ialah Idris bin Yarud bin Mahlil. Nasab keturunannya sampai kepada Syis bin Adam a.s.
Baginda adalah datuk kepada Nabi Nuh a.s.
Perbezaan antara Nabi Idris dengan Nabi Adam adalah kira-kira 308 tahun. Baginda menggunakan ilmu Syis bin Adam dan ketika dewasa Allah mengurniakannya kenabian.
Nabi Idris adalah orang pertama menulis dengan pena, manusia pertama mengajar mengenai politik peradaban, penulisan undang-undang dan peraturan kehidupan kepada kaumnya, sehingga pada waktunya berkembang sebanyak 188 undang-undang peradaban.
Baginda melarang anak (keturunan) Nabi Adam dan Syis daripada kejahatan, tetapi sedikit sekali yang mengikutinya, malah mengajak untuk berhijrah kepada keimanan, tetapi mereka berasa ada keberatan.
Mereka bersuara: "Di mana kita boleh menemui kawasan seperti Babil apabila berpindah nanti?"
Nabi Idris berkata: "Apabila kita berhijrah kerana Allah tentu Allah akan memberikan rezeki yang lainnya."
Kemudian baginda dan golongan terbabit keluar hingga sampai ke Mesir, mereka menemui Sungai Nil, mereka berhenti lalu memuji Allah, berdiri mengajak manusia ke jalan Allah dan berakhlak mulia.
Baginda didakwa menghuni bumi selama 82 tahun, kemudian diangkat Allah ke tempat yang mulia.
"Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya." (Al-Quran, surah Maryam:57)
Ketika malaikat maut yang menyerupai seorang lelaki mengunjunginya, baginda sedang berpuasa sepanjang tahun. Menjelang waktu berbuka malaikat datang dengan membawa makanan dari syurga.
Satu ketika baginda asyik mengerjakan ibadat menyebabkan malaikat maut di sisinya terpaksa menunggu hingga terbit fajar.
Malaikat maut yang menyerupai lelaki itu masih duduk di sampingnya.
Kemudian mereka berjalan bersama dan meneruskan perjalanan selama empat hari.
Sepanjang tempoh itu, Nabi Idris melihat pelbagai perkara pelik daripada malaikat yang menyerupai lelaki itu.
Disebabkan banyak perkara yang pelik, Nabi Idris bertanya: "Siapakah kamu sebenarnya?"
Lelaki itu berkata: "Saya malaikat maut."
Nabi Idris bertanya lagi: "Apakah kamu akan mencabut nyawa setiap orang?"
Lelaki itu berkata: "Ya"
Nabi Idris bertanya: "Selama empat hari kamu bersamaku, apakah kamu juga mencabut nyawa orang?"
Lelaki itu berkata: "Ya, saya mencabut beberapa nyawa dan sesungguhnya jiwa makhluk itu untukku sama seperti hidangan di depanku atau seperti kamu menghadapi sesuap makanan."
Nabi Idris berkata lagi: "Wahai malaikat maut, apakah kamu datang ini sekadar berkunjung atau mencabut nyawa aku?"
Lelaki itu berkata: "Aku datang hanya untuk berkunjung dengan izin Allah."
Nabi Idris berkata: "Wahai malaikat maut, aku mempunyai keinginan denganmu."
Lelaki itu berkata: "Apakah keinginan itu?"
Nabi Idris berkata: "Keinginan aku, supaya kamu mencabut nyawaku, kemudian Allah menghidupkan aku kembali, sehingga aku dapat beribadat kepada Allah selepas aku merasai sakaratulmaut."
Lelaki itu berkata: "Sesungguhnya aku tidak mencabut nyawa seseorang kecuali dengan izin Allah."
Kemudian Allah memberikan wahyu supaya mencabut nyawa Nabi Idris.
Malaikat maut menurut perintah dan pada masa itu juga baginda mati, tetapi buat seketika saja.
Malaikat maut menangis dan memohon ampun kepada Allah, lalu meminta supaya Allah menghidupkan semula Nabi Idris.
Allah menerima permintaan itu lalu menghidupkan kembali Nabi Idris.
Kemudian malaikat yang menyerupai lelaki itu berkata:
"Wahai saudaraku, bagaimana rasanya maut yang kamu hadapi?"
Nabi Idris berkata: "Sesungguhnya, seperti terkupas kulit dalam keadaan hidup, rasa sakit menghadapi maut itu lebih 1,000 kali gandanya."
Malaikat itu berkata: "Aku lakukan khusus mencabut nyawa kamu secara berhati-hati dan lembut, belum pernah aku lakukan terhadap orang lain."
Battery Reconditioning
6 years ago