Buruh cedera ditikam anak teman wanita



KUALA TERENGGANU - Seorang remaja nekad menyerang seorang buruh dengan topi keledar dan menikam paha lelaki terbabit menggunakan sebilah pisau sehingga cedera dalam satu kejadian di Kampung Bukit Mentok, Kemaman, kelmarin.

Suspek yang baru berusia 18 tahun dikatakan bertindak demikian kerana tidak merestui hubungan cinta yang terjalin antara mangsa dengan ibunya.

Berikutan kejadian itu, mangsa berasal daripada Baling, Kedah dan menetap di Kemaman dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk dirawat sebagai pesakit luar selain menerima tiga jahitan pada bahagian dahi serta dua jahitan di paha kanan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan K Manoharan berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika mangsa berada di kawasan perumahan Akasia bersembang bersama rakannya.

“Tiba-tiba suspek datang terus menarik tangan mangsa dan memukulnya dengan tangan serta topi keledar sehingga dahi mangsa cedera.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut mengeluarkan sebilah pisau dan menikam paha kanan mangsa sebelum melarikan diri, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui semalam.

Manoharan berkata, suspek yang tinggal di Kampung Bukit Kuang dilaporkan tidak suka mangsa menjalinkan hubungan mesra dengan ibunya berusia 46 tahun sehingga remaja terbabit bertindak sedemikian rupa.

Malah katanya, suspek sebelum ini pernah memberi amaran kepada mangsa supaya tidak berhubung dengan ibunya.

“Mangsa berusia 40 tahun membuat laporan di Balai Polis Chukai pada jam 8.55 malam dan kita sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan kes ini yang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.