Susunan oleh KEITH JONATHAN

Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood ketika ditemuramah dalam ruangan StarBiz '10 soalan anda'. foto THE STAR oleh RAYMOND OOI

BUKAN senang untuk mencari seorang budiman seperti Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood yang sanggup meninggalkan kesenangan dan kemewahan demi untuk membantu orang lain.

Beliau merupakan pengerusi dan pengasas MERCY Malaysia ataupun 'Malaysian Medical Relief Society' iaitu pertubuhan bantuan perubatan sukarela yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1999 berikutan perang di Kosovo.

Beliau sendiri selalu mengetuai misi membantu penduduk di negara-negara yang menghadapi bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan juga di wilayah yang bergolak akibat perang.

Baginya apa yang dilakukannya itu adalah lebih berharga daripada apa yang boleh dibeli oleh wang ringgit.

Dr. Jemilah merupakan salah seorang daripada 16 yang lain dipilih oleh Setiausah Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), General Ban Ki-moon sebagai kumpulan penasihat Pusat Tindakan Tabung Kecemasan PBB (CERF).

Latar Belakang

Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood memeluk seorang kanak-kanak ketika misi kemanusian di Aceh, Indonesia. Foto ehsan oleh MERCY Malaysia

Beliau menerima pendidikan awal di sekolah Rendah Assunta dan seterusnya Sekolah Menengah Assunta di Petaling Jaya sebelum berpindah ke London untuk melanjutkan pelajaran.

Kemudian beliau pulang ke Malaysia untuk menyambung pelajarannya dalam bidang Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1986 sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Obstetrics & Gynaecology.

Dr. Jemilah memegang Ijazah Sarjana dalam bidang Obstetrics & Gynaecology daripada membership of the Royal Obstetricians & Gynaecologist (United Kingdom) pada tahun 1991 dan pada tahun 1992 telah mendapatkan Ijazah Sarjana di dalam bidang Obstetricians & Gynaecologist (UKM).

Dr. Jemilah sekarang menjadi Obstetricians & Gynaecologist di Hospital Pakar Ampang Puteri di Kuala Lumpur. Aktif di dalam aktiviti kokurikulum semenjak dibangku sekolah, beliau adalah Bendahari di dalam Persatuan Obstetrical & Gynaecological Malaysia dari tahun 1995–1998 dan Timbalan Presiden Persatuan Menopause Malaysia dari tahun 1999–2000.

Beliau telah mencapai impiannya untuk membantu masyarakat dengan menubuhkan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia yang lebih dikenali dengan MERCY Malaysia.

Di atas jasanya terhadap masyarakat, beliau dianugerahkan Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Yang Teramat Mulia Sultan Azlan Shah pada tahun 2002 dan Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2003.

Pada 6 Jun 2009, beliau dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Tan Sri.

Beliau juga telah menerima Anugerah Keamanan Wanita yang Pertama di Asia Timur (Kategori Perkhidmatan Kemanusiaan) di Manila. Anugerah yang berprestij itu juga pernah dianugerahkan kepada Presiden Filipina Corazon Aquino dan Aung San Suu Kyi dari Manila.

Sejarah penubuhan MERCY

Dr. Jemilah Mahmood (belakang: dua dari kiri). Beliau dan sukarelawan lain sedang menyediakan bantuan yang akan dihantar ke Albania untuk misi kemanusian Mercy pertama di Kosovo. foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN B SENIN

Perang Kosovo pada 1999 yang melibatkan pembersihan etnik oleh puak Serb terhadap penduduk Kosovo telah memberi ilham kepada Dr. Jemilah, untuk memberi perkhidmatan kesihatan percuma kepada mereka.

Malangnya sangat sukar untuk mendapatkan bantuan perubatan, kewangan, pengangkutan dan tenaga kerja dari pertubuhan sukarela antarabangsa sedia ada.

Lantaran itu, beliau dan beberapa rakan yang sejiwa dengannya telah menubuhkan Persatuan Perubatan Malaysia pada Jun 1999.

Misi pertama mereka ialah ke Kosovo diketuai oleh Dr. Jemilah dan 4 sukarelawan yang lain.

Apabila bencana tsunami 2004 berlaku di Aceh, MERCY merupakan pasukan pertama tiba di sana. MERCY berjaya menyiapkan 16 projek pembangunan bernilai RM18.5 juta.

Antaranya termasuklah bangunan Program Akademi Jururawat, Fakulti Kedoktoran Universiti Syiah Kuala (Unisyiah) yang ditaja sepenuhnya oleh Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan rumah anak yatim Kayee Kunyit di Aceh Besar yang ditaja oleh Yayasan Shamsuddin Abdul Kadir di bawah Kumpulan Sapura.

MERCY menghantar lapan misi ke Iran pada 26 Disember 2003 apabila gempa bumi di Bam, provinsi Kerman memusnahkan bandar purba tanah liat berusia 2,500 tahun.

Datuk Dr. Jemilah Mahmood menuju ke Cybertorium di Menara The Star untuk menerima sumbangan cek sebanyak RM 14,308,519,77 hasil daripada kutipan tabung bencana Tsunami The Star. Foto THE STAR oleh S.S.KANESAN

MERCY Malaysia telah bertugas di Hospital Medan bersama pasukan Itali di Baravat, 13 kilometer (km) dari bandar Bam.

Pasukan MERCY beroperasi di sana hingga April 2004, merawat 175 pesakit setiap hari dan membantu 18,000 mangsa.

MERCY juga terlibat dalam misi kemanusian di Iraq, Darfur, Palestin, Afghanistan, Pakistan, Kemboja dan juga wilayah-wilayah lain.

Pengalaman Ngeri di Iraq

Dalam satu insiden yang berlaku di Bahgdad pada tahun 2003, Dr. Jemilah dan rakan-rakannya dikepung oleh sekumpulan orang Iraq yang menyangka kumpulannya adalah militan yang menyerang perkampungan mereka.

Ketika itu mereka keluar untuk mendapatkan bantuan keperluan di hospital.

Segalanya bertukar menjadi tragedi ngeri apabila Dr. Jemilah dan seorang lagi rakanya yang di kenali sebagai Dr. Baba ditembak di bahagian pinggang, dan seorang pemandu dari Syria serta pegawai dari hospital meninggal dunia ditempat kejadian.

Walaupun dalam keadaan cedera parah, Dr. Jemilah sempat meminta maaf kepada Dr. Baba terhadap apa yang berlaku, Dr. Baba mengenggam tangannya dan memberitahu dia tidak pernah menyesal dengan kejadian tersebut sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Bagi insan berjiwa kental ini, insiden tersebut langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberi pertolongan kepada orang lain selagi mana beliau mampu.

Malah menurut Dr. Jemilah beliau pernah melihat kaki seorang kaki seorang kanak-kanak hancur berkecai dan baginya kecederaan yang dialaminya tidaklah seteruk mana kalau hendak dibandingkan dengan apa yang berlaku terhadap kanak-kanak itu.

Walaupun Dr. Jemilah dan pasukannya tahu bahawa keadaan di Baghdad tidak 100 peratus selamat ketika itu tetapi mereka telah mengabaikan risiko yang terpaksa dihadapi demi untuk merawat ramai pesakit yang menderita pada masa itu.

Sukarelawan MERCY Malaysia ditempatkan di hospital Chiwader, di luar bandar Saddam semasa perang di Iraq meletus. Walaupun tidak mempunyai pekerja yang mencukupi, hospital itu tidak pernah menutup pintu untuk pesakit yang memerlukan bantuan.

Sejak penaklukan Amerika di Iraq bermula pada 20 Mac 2009, hospital tersebut telah merawat lebih daripada 900 kecederaan parah dan biasa.

Dalam jangka masa tiga hari iaitu dari 7 hingga 10 April, 600 kecederaan dirawat di hospital Chiwader. Ia merupakan hari yang paling banyak tentera Amerika melepaskan tembakan dan mengugurkan bom.

Presiden Mercy Malaysia, Tan Sri Jemilah Mahmood bersama dengan kanak-kanak di kem perlindungan Kerinding II di Barat Darfur, Sudan. Foto ehsan oleh MERCY Malaysia

Terkenal di serata dunia

Pernah satu ketika Dr. Jemilah berdiri di Place des Nations di Geneva menunggu seorang kawan datang mengambilnya, beliau didatangi sekumpulan wanita daripada Sudan. Mungkin melihat melalui cara Dr. Jemilah memakai tudung, mereka terus bertanya adakah beliau berasal dari Malaysia.

Apabila Dr. Jemilah menjawab ya, kumpulan wanita dari Sudan itu menjelaskan mereka datang dari wilayah perang di Darfur dan bertanya kepada Dr. Jemilah adakah beliau mengetahui tentang MERCY Malaysia.

Mereka memberitahu ramai wanita di Darfur meninggal dunia ketika melahirkan anak. Ujar salah seorang daripada mereka, MERCY Malaysia membantu menyediakan pusat kesihatan yang mempunyai bilik khas dan melatih doktor serta jururawat disana.

Kini wanita di tempat itu lebih gembira kerana mempunyai tempat untuk melahirkan anak dengan selamat.

Mereka kemudian menyuruh Dr. Jemilah menyampaikan rasa terima kasih mereka kepada 'beliau' dan MERCY apabila balik ke Malaysia.

Menurut kumpulan wanita tersebut mereka sebenarnya tidak pernah berjumpa dengan Dr. Jemilah tetapi seringkali mendengar namanya.

Datuk Michelle Yeoh (kiri) dan Datuk Jean Todt (kanan) menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak di Kompleks Sukan Pagoh sambil diperhatikan Dr Jemilah Mahmood. foto THE STAR oleh KENNETH WONG

Apabila kawan yang ditunggu Dr. Jemilah tiba, beliau memberikan kadnya kepada kumpulan wanita tersebut sebelum menuju ke arah kereta.

Apabila membacanya, mereka sangat terkejut dan menjerit kegembiraan.

Dari MERCY ke UNFPA

Setelah 10 tahun bersama dengan MERCY, Dr. Jemilah kini akan memikul tugas lebih berat apabila beliau akan berpindah ke New York untuk mengetuai Bahagian Tindakan Kemanusian salah satu unit dalam Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA).

Bagi Dr. Jemilah, beliau tidak akan lupa pengalaman pahit manis selema 10 tahun dirinya bersama dengan MERCY. Ramai kenalan baru yang beliau temui dan ilmu yang telah dipelajarinya dalam tempoh itu.

Keluarga Dr. Jemilah sendiri tidak pernah menghalang beliau untuk meneruskan perjuangannya di peringkat yang lebih besar. Malah menurut suaminya, Dr. Jemilah akan menyesal suatu hari nanti sekiranya beliau menolak tawaran itu.

Selain keluarga beliau, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara, Datuk Dr. Mazlan Othman, banyak memberi galakkan kepada beliau untuk menjawat jawatan itu.

Menurut Dr. Mazlan jarang sekali wanita daripada Malaysia diberi pengiktirafan seperti ini dan beliau tidak harus melepaskan peluang tersebut.

Kejayaan Dr. Jemilah wajar dijadikan contoh dan teladan oleh masyarakat di Malaysia untuk melahirkan lebih banyak individu berjiwa mulia seperti beliau.