12 jahitan dipukul biras


KUALA TERENGGANU - Hanya kerana menuntut hutang RM200, seorang juruteknik terpaksa menerima 12 jahitan selepas kepalanya teruk dipukul dengan spanar oleh birasnya sendiri di Kampung Telari, Manir, kelmarin.

:Akibat kejadian itu, mangsa berumur 26 tahun yang cedera bahagian kepala terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kubang Jela, Manir sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan K Manoharan (gambar) berkata, insiden malang itu berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa duduk beristirahat di tangga rumahnya.

“Suspek yang juga birasnya datang ke rumah mangsa dan secara tiba-tiba bertindak memukul kepala mangsa dengan spanar sehingga luka, lalu berlaku pergelutan antara mereka,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, pergaduhan itu tidak berpanjangan apabila adik ipar mangsa yang secara kebetulan berada di tempat kejadian meleraikan pergelutan berkenaan sebelum suspek melarikan diri.

“Mangsa yang cedera bahagian kanan, kiri dan belakang kepala terus dikejarkan ke hospital dan terpaksa menerima 12 jahitan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat rasa tidak berpuas hati suspek terhadap mangsa kerana meminta hutangnya yang masih berbaki RM200,” katanya.

Menurut Manoharan, sebelum ini suspek telah meminjam wang mangsa RM500 dan RM300 telah dibayar.

“Isteri mangsa kemudian bertanyakan baki RM200 kepada suspek dan tindakan itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga dia mengambil tindakan memukul mangsa.

“Akibat kejadian ini, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu dan polis giat berusaha mengesan kedudukan suspek yang tinggal di Kampung Petai Bubus untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.