Perkara asas dalam bernikah

SOALAN:

Saya ingin penjelasan tentang suatu perkara, iaitu yang berkaitan dengan hukum nikah. Apakah keperluan asas untuk bernikah?

Ada orang yang menyatakan, jika dalam keadaan yang tertentu, contohnya, dalam keadaan yang terdesak dan terpaksa, dan tiada cara lain untuk mengatasi masalah, dan untuk mengatasi dosa zina terutamanya, nikah itu sah dengan hanya adanya mas kahwin, Allah dan para malaikat sebagai saksi, tak perlu ada saksi atau wali yang lain. Tolong beri penjelasan tentang hal ini.

Jawapan:

Hukum-hakam yang berkaitan dengan bab nikah tetap sama seperti yang diajarkan dalam Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Syariah Islamiah semasa di tingkatan lima di sekolah menengah. Atau pun kursus-kursus pra-perkahwinan yang diwajibkan oleh jabatan agama negeri masing-masing dan ia telah konsisten seumpama itu sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

Asasnya terletak pada rukunnya yang lima atau biasanya diakronimkan sebagai SISWA di sekolah iaitu:

(1) Suami iaitu pengantin lelaki

(2) Isteri iaitu pengantin perempuan

(3) Saksi iaitu dua orang saksi pernikahan terdiri daripada dua orang lelaki yang adil

(4) Wali kepada pengantin perempuan seperti bapanya

(5) Akad iaitu lafaz ijab dan qabul

Kelima-lima rukun ini perlu dipenuhi syarat-syaratnya barulah sesuatu akad nikah itu sah hukumnya kerana ia adalah perkara asas bab nikah dalam ajaran agama Islam untuk menghalalkan hubungan di antara kedua-dua orang pengantin.

Sebaliknya, kekurangan mana-mana rukun akan memberi kesan batalnya hukum nikah dan hubungan di antara kedua-dua mempelai tidak sah, bahkan statusnya sama sahaja dengan hubungan yang tidak halal. Nauzubillah.

Contohnya ‘tiada wali’ seperti yang disebut oleh penanya di atas, hadis di bawah secara terang-terangan menghukumkannya batal atau tidak sah, yang bermaksud: Dari ‘Urwah r.a dari Aisyah r.a dari Nabi SAW bahawasanya baginda telah bersabda: “Mana-mana perempuan yang bernikah tanpa izin walinya, maka pernikahannya itu batal”. (Baginda mengulangi lafaz hadis sebanyak tiga kali menandakan keseriusan hukum ini). [Sumber: Musnad al-Shafie, juzuk 1, halaman 220]

*Perhatian: Hadis mengenai ‘tidak sah nikah tanpa wali’ ini disebut di dalam hampir kesemua kitab-kitab hadis muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Ibnu Hibban, Al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayni oleh al-Hakim, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Bayhaqi al-Kubra, Sunan al-DaruQutni, Musnad al-Shafie, Sunan Abu Daud, Sunan al-Kubra oleh al-Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah.

Sebagai seorang Muslim warganegara Malaysia yang berpegang kepada Mazhab Imam al-Shafie, maka kita hendaklah mematuhi hukum-hukum fikah yang telah digariskan oleh beliau.

Berbalik kepada usul penanya tentang ‘bernikah tanpa wali dan saksi, ternyata ia bertentangan dengan pendirian Imam al-Shafie yang menyebut hadis marfu’ ini dalam kitabnya Musnad al-Shafie, juzuk 1, halaman 220 dan 291 yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: “Tiada pernikahan kecuali dengan (kehadiran) wali mursyid dan dua orang saksi (lelaki) yang adil”.

Al-Baihaqi juga ada menyebut bahawa Imam al-Shafie ada meriwayatkan hadis yang sama tetapi bersanadkan al-Hasan bin Abu al-Hasan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tiada pernikahan kecuali dengan (kehadiran) wali mursyid dan dua orang saksi (lelaki) yang adil”. [Sumber: Sunan al-Baihaqi al-Kubra, juzuk 7, halaman 125, bilangan hadis: 13497]

Di dalam Islam, adalah sesuatu yang penting untuk memeriksa peribadi seseorang yang membuat sesuatu kenyataan sebelum menerima apa-apa yang diperkatakannya seperti panduan al-Quran dalam Surah al-Hujuraat, ayat 6 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (berita tersebut dahulu untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak mengakibatkan sesuatu perkara buruk atau kecelakaan (yang tidak diingini) kepada sesuatu kaum berpunca daripada kejahilan kamu (mengenainya) sehingga membuatkan kamu menyesal atas apa yang telah kamu lakukan.

Oleh yang demikian, kita perlu menyelidik autoriti orang yang dimaksudkan dengan, ‘ada orang yang menyatakan…sekian, sekian’ terlebih dahulu bagi menentukan sama ada ia adalah kenyataan yang boleh diterima pakai atau perlu diabaikan.

Sementara pada pihak ustaz, hasil penyelidikan menemukan satu hadis (athar) berkaitan dengan soalan saudara yang diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam bab apa yang diharuskan pada pernikahan tanpa wali dan dua orang saksi berdalilkan harusnya hukum nikah dengan perempuan yang dihadiahkan (hibah) yang bermaksud: Dari Abu Sa’id r.a. berkata: Tidak sah sesuatu pernikahan itu kecuali dengan (kehadiran) wali, saksi dan mahar dengan pengecualian terhadap apa-apa dari (autoriti) Nabi SAW semasa hidupnya. [Sumber: Sunan al-Baihaqi al-Kubra, juzuk 7, halaman 6, bilangan hadis: 13137].

Kesimpulannya, kenyataan ‘orang’ yang dimaksudkan oleh saudara itu telah dijelaskan oleh hadis (athar) di atas.

Maka, tidak boleh tidak, anda mestilah memenuhi tuntutan hukum fikah bab munakahat untuk berkahwin. Tiada jalan pintas dibenarkan bagi menghalalkan hubungan di antara lelaki dan perempuan kecuali dengan bernikah secara yang sah di sisi agama Islam seperti orang lain telah lakukan.

Malahan, perkembangan teknologi semasa sepatutnya memudahkan kita semua untuk menyelesaikan apa jua masalah yang kita sebagai manusia mungkin hadapi sehingga logik membayangkan kewujudan ruang situasi ‘terpaksa dan terdesak’ atau ‘tiada cara lain’ menjadi semakin sempit kini.