Raih untung RM5,000 sehari jual keropok lekor



BATU RAKIT -Seminggu selepas Syawal sering dilihat sebagai bulan perta�mbahan rezeki dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjalankan perniagaan hasil makanan laut sepanjang jalan utama, di sini.

Bagi pengusaha hasil makanan laut, Hasnah Abu Bakar, 49, dari Mengabang Lekar di sini, selepas tempoh berkenaan menyebabkan dia dan keluarga serta dibantu pekerjanya sibuk meningkatkan pengeluaran keropok lekor dihasilkan.

Menurutnya, sebagaimana tahun sebelumnya, seminggu selepas kedata�ngan Syawal, keropok lekor mereka mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, sekali gus menghasilkan keuntungan berlipat ganda berbanding hari biasa.

“Jika hari biasa, saya hanya menggunakan 50 kilogram (kg) isi ikan untuk membuat keropok lekor tetapi apabila memasuki Syawal, lebih 400 kg isi ikan perlu disediakan setiap hari untuk menghasilkan makanan kegemaran ramai itu.

“Sepanjang seminggu selepas hari raya ini, kami tak menang tangan kerana perlu menghasilkan antara 5,000 hingga 10,000 batang keropok lekor sehari,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian :di kedai Keropok Lekor Rasa Sayang, di sini, semalam.

Hasnah berkata, dia agak beruntung kerana tidak perlu bersusah-payah membuat promosi kerana pelanggan datang sendiri ke kedainya yang terletak di tempat strategik di tepi jalan utama Mengabang Lekar, di sini.

Disebabkan dalam tempoh itu keropok lekornya laris, Hasnah terus meningkatkan pengeluaran dengan dibantu beberapa pekerja sambilan, selain ahli keluarga.

“Melalui penambahan tenaga kerja, kami mampu menampung permintaan pelanggan selain bantuan mesin pengisar, Alhamdulillah sepanjang tempoh ini kami mampu memperoleh RM5,000 sehari berbanding RM1,000 pada hari biasa,” katanya.