Umpan adik, cabul 2 kakak



KUALA TERENGGANU - Hanya dengan menggunakan adik lelaki mangsa berusia 5 tahun sebagai umpan, seorang lelaki akhirnya berjaya mencabul seorang pelajar bersama kakaknya di bilik berasingan di Kampung Merchang, Marang, bulan lalu.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 20-an itu akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis sejurus selepas mangsa yang baru berumur 11 tahun membuat laporan di Balai Polis Merchang kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri berkata, kejadian berlaku awal bulan lalu ketika suspek yang dipercayai mempunyai hubungan saudara membawa adik mangsa keluar bersiar-siar.

Menurutnya, teruja melihat suspek membawa adik lelakinya keluar berjalan-jalan di sekitar Marang, mangsa bersama kakaknya yang tinggal di Kampung Pulau Kerengga ingin turut serta dan mereka dibawa menaiki kereta Proton Wira milik suspek.

“Bagaimanapun suspek dikatakan membawa tiga beradik itu ke rumahnya di Kampung Merchang sebelum menempatkan mangsa dan kakaknya di dua bilik berasingan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam.

Mohd Fauzi berkata, suspek kemudian meminta mangsa yang merupakan murid Tahun Lima membuka baju dan mencabul remaja malang itu sebelum melakukan perkara sama terhadap kakaknya di bilik sebelah.

Sinar Harian difahamkan, mangsa yang masih mentah dan tidak tahu apa-apa mengenai perlakuan suspek hanya mendiamkan diri sebelum akhirnya membuat laporan di Balai Polis Merchang kelmarin.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.