Buka tender pendaftaran TAX 1 hingga TAX 9999



KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu membuka tender nombor pendaftaran kenderaan TAX 1 sehingga TAX 9999 bermula sekarang dan berakhir 3 November depan.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, orang ramai boleh mula membuat tempahan secepat mungkin untuk memilih nombor pendaftaran yang diminati kerana tender akan dibuka di seluruh Malaysia.

“Setakat ini, nombor pendaftaran dengan harga tender tertinggi di negeri ini adalah TAN 1 yang bernilai RM200,090 dan pernah diumumkan harga paling mahal dicatatkan di negara ini,” katanya.

Menurutnya, individu yang berjaya dalam tender itu berasal dari Johor, yang menganggap ia sebagai salah satu tuah dalam kehidupan sempena nama keluarganya .

“Hasil tender nombor pendaftaran adalah salah satu penyumbang utama pendapatan kepada kerajaan, selain bayaran saman, pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu,” katanya.