UTM cipta penggera mengantuk

Oleh NASRI JAMALUDIN


RUZAIRI (kiri), Jaysuman dan Mohd. Hafiz menunjukkan sistem peranti yang mampu
mengesan pemandu mengantuk di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Berita baik bagi pemandu kenderaan terutama pemandu bas yang berhadapan dengan masalah mengantuk ketika memandu.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menghasilkan sebuah sistem peranti yang mampu mengesan tahap kesedaran pemandu-pemandu kenderaan bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UTM, Prof. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, peranti yang dikenali sebagai Smart Nap Alert System itu akan berfungsi apabila pemandu mula menunjukkan tanda-tanda keletihan, mengantuk atau tersengguk ketika memandu.

"Sistem peranti ini terbahagi kepada dua iaitu penderia yang dipasang di bahagian telinga dan peranti kawalan yang dipasang di dalam kenderaan.

"Apabila pemandu tersengguk, penggera akan berbunyi sekali gus menyedarkan pemandu serta penumpang," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.