"Ustaz mengapa kami kaum wanita kena tutup aurat banyak dan sukar, tapi lelaki sikit aja. Adil ke begitu ustaz?" Tanya seorang wanita yang bertitle PhD dalam bidang ekonomi kepada saya.
"Dr tahu tak berapa jarak matahari ke bumi? " Tanya saya membalas.
"Emm, tak ingat la ustaz, kenapa pulak? Bagaimana soalan saya tadi" Pakar ekonomi ini cuba mengingatkan saya."Cuba Dr bayangkan, kalau jarak antara matahari dan bumi ini tiba-tiba berubah jadi seinchi rapat, apa agaknya akan jadi kat kita?" Soal saya mengajaknya berfikir.
"Rasanya jika ikut teorinya, mesti hancur lebur dan cair penduduk bumi kot, ustaz" katanya.
"Jadinya, Dr setuju tak kalau saya kata bahawa Allah SWT begitu mahir dan amat tepat dalam seluruh urusannya, jika tidak..sudah tentu kita tak boleh hidup di dunia ni, bumi asyik berlaga, siang malam tak tentu hala dan tumbuhan semuanya kelam kabut tumbuhnya" Jelas saya sedikit panjang.
"Benar ustaz, saya amat bersetuju tentang Allah maha mengetahui dan berkuasa" katanya sambil mengangguk.
"Jika demikian, mengapa Dr boleh timbul rasa sangsi tentang keadilan dan kebijaksanaan Allah dalam mengarahkan wanita menutup aurat begini, dan lelaki begitu?" Saya cuba membawa semula kepada topik awalnya.
Hmmm, ye tak ye jugak ustaz kan, betul-betul tak patut saya rasa begitu, astahgfirullahah azim " sambil menggeleng kepalanya perlahan.
Bagi sesetengah orang yang bijak, mungkin fakta ringkas saya tadi sudah cukup untuk memberi faham kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ia mungkin sekali tidak berkesan buat setengah yang lain.
Jawapan lazim yang kerap digunakan oleh rakan-rakan saya apabila ditanya soalan sebegini adalah kembali kepada pengertian adil dalam Islam. Iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya ‘favorite'nya pula, menyebut "adil tak meletakkan kupiah di atas kepala lutut?."
Benar dan saya bersetuju itulah takrif adil tersebut, iaitu "meletakkan seseuatu pada tempatnya", lalu tak semua benda patut kita letakkan pada tahap yang sama, seperti kita mengharapkan anak kita berumur 14 bulan untuk mengerti bahayanya memakan semua benda kecil yang dijumpainya di atas lantai.
"EEee, budak ni tak reti ke benda-benda ni kotor? " tempik seorang ibu kepada anaknya kerana memasukkan dalam mulutnya kotoran di lantai dapur rumahnya.
Saya yakin, kita semua faham bahawa tidak adil untuk kita memarahinya kerana ia baru berusia 14 bulan. Berbeza jika ia berusia 14 tahun dan cergas aqalnya tetapi masih memungut dan makan semua yang dijumpainya di atas lantai. Itu sememangnya patut dikesali.
Dari sudut Islam, kita harus memahami bahawa Allah SWT maha bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang memudaratkan manusia secara tersurat dan tersirat akan diletakkan had dan batasan untuk dikurangi atau dijauhi. Apa yang bermanfaat dan baik sahaja yang akan digalakkan dan dibenarkan.
Firman Allah SWT: Ertinya : "Mereka menanyakan kepadamu: ""Apakah yang dihalalkan bagi mereka?"" Katakanlah: ""Dihalalkan bagimu yang baik-baik" ( Al-Maidah : 4)
Justeru, apa yang ‘neutral' atau ‘harus' hukumnya akan dibiarkan terbuka (tanpa sebarang larangan) sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat manusia. Fakta ini datang dari sabda Nabi SAW :
Ertinya : "Sesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkaar wajib, maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencerobihinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumannya" ( Riwayat Ad-Dar Qutni, ; Ad-Dar Qutni : Sohih, An-Nawawi : Hasan )
Perempuan Lebih Sukar?
Pernah sekali di Brunei, selepas tamat kursus yang saya kendalikan, datang seorang peserta wanita lalu berkata :
"Tapi ustaz, orang lelaki mudah le dapat tutup aurat dengan sempurna, sebab depa senang, sikir benor auratnya". Tegasnya.
"Jika puan rasa susah, tapi buat juga kerana Allah, lagi banyak pahala puan dapat, untung orang perempuan, tutup je aurat terus dapat pahala setiap saat, berganda dari pahala orang lelaki kerana mereka tidak berapa sukar" jawap saya menarik minatnya.
"eh, betul ke ni ustaz" sambil tersenyum luas.
Berminat betul nampaknya dia kali ini sehingga nampak jelas raut wajahnya ingin penjelasan lanjut.
"Benar, InshaAllah.." Kata saya.
Kata saya ini berdasarkan satu hadith yang menyebut
Ertinya : "Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan belanja ikhlas kamu" (Riwayat Ad-Dar Qutni dan Al-Hakim)
Menurut Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-bari menjelaskan bahawa hadith ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a berkenaan umrah yang dilakukan oleh Aisyah. Dimana Nabi SAW diriwayatkan menyebut :
Ertinya : "Sesungguhnya ganjaran pahalamu (wahai Aisyah) ketika umrahmu ini adalah berdasarkan kadar kesukaran dan wang yang dibelanjakan"
Imam An-Nawawi pula berkata :"Zahir hadith ini menunjukkan ganjaran dan pahala dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya keletihan dan belanja yang dikeluarkan"
Bagaimanapun ulama sepakat menyatakan bahawa konsep pahala lebih besar apabila amalan lebih sukar dan letih" ini, tidaklah terpakai di dalam semua keadaan, kerana terdapat beberapa jenis ibadat yang ringan tetapi mempunyai pahala yang amat besar, seperti ucapan zikir tertentu yang disebut oleh Nabi SAW, demikian juga berbezanya solat tahajjud di bulan biasa dan di bulan Ramadhan. Kelebihan solat sunat Witr atas solat sunat tasbih yang jauh lebih sukar dan lain-lain. Demikian juga yan ditegaskan oleh Imam Izzudin Abd Salam ( Qawaid al-Ahkam fi Masalihil Anam)
Lelaki Duduk Rumah Wanita Kerja?
Yakinilah bahawa Allah SWT maha adil dalam menentukan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita. Sememangnya Allah SWT memerintahkan kaum Hawa untuk menutup auratnya dengan begitu luas; ia bersesuaian dengan hukum Islam yang asal iaitu kerja mencari nafqah buat keluarga adalah merupakan tanggungjawab asas kaum lelaki yang disebut oleh Allah sebagai salah satu faktor "qiwamah"nya. Malah terdapat pandangan yang menyatakan lelaki yang gagal menyempurnakan tanggungjawab ini bukan kerana uzur adalah suami yang NUSYUZ.
Ini bermakna jika menurut hukum asal dalam Islam, haram hukumnya bagi lelaki yang sudah berumah tangga (tanpa sebab yang diktiraf Islam) tidak bekerja mencari nafqah, wanita tidak pula diharamkan untuk bekejra jika menjaga hukum yang ditentukan Islam. Jika wanita bekerja, pendapatan itu adalah milik mereka dan tiada sebarang tanggung jawab untuk memberi makan kepada suami kecuali atas dasar ihsan sahaja.
Adakah lelaki yang sudi memakan belas ihsan isteri? sedangkan lelaki dipenuhi dengan ego yang cukup tinggi secara puratanya. Saya sebut ihsan kerana ia BUKAN TANGGUNGJAWAB ISTERI untuk memberikan suaminya yang sihat tubuh badan untuk makan dan pakaian.!
Lelaki secara umumnya berbanding wanita, diberikan oleh Allah SWT lebih kemampuan fizikal, mental dan kemudahan dalam menutup aurat agar mudah ia ke hulu dan ke hilir mencari nafqah buat keluarganya. (Fatawa Az-Zarqa, hlm 290, cet Dar Al-Qalam)
"Habis ustaz nak orang perempuan duk rumah je la ni?" desak seorang wanita, sambil menjeling saya dengan jelingan kurang puas hati.
"jawapannya bukan semudah itu" jawab saya.
"Begini, saya kata ikut hukum asal yang Allah letak memang begitu, cuba bayangkan betapa sukarnya wanita bekerja hari ini untuk melaksanakan tugasnya dalam keadaan ‘senggugut', sakit perut, mengandung dan bersalin. Sekiranya ia telah menopos pula, sukarnya tiba-tiba perlu ke sana sini seorang diri, bermesyuarat bersama lelaki berdua-duaan dan sebagainya"
"Mereka sepatutnya lebih dimuliakan dengan diberi kerehatan cukup di rumah sambil membina pimpinan dan generasi soleh masa depan, iaitu anaknya dan keluarganya" Ulas saya, walaupun saya tahu, isu ini amat panjang untuk dibincang serta amat sukar untuk memuaskan hati kaum wanita moden zaman ini.
Nabi SAW bersabda :Ertinya : "Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad, 6/371 ; Ibn Athir : Hasan 11/200 )
Hadith di atas jelas membuktikan betapa tempat yang sebaiknya bagi wanita untuk mendapatkan pahala terbesar adalah di rumahnya. Manakala, bidang institusi keluarga, pendidikan anak dan menjaga keamanan rumah tangga WAJIB TIDAK DIPANDANG REMEH, malah ia sebenarnya amat sukar, malah ia menyamai kepimpinan sebuah negara.
Pandangan remeh terhadapnya adalah kesilapan utama wanita moden zaman kini hingga terlalu berhasrat menjaga syarikat dan berbakti kepada negara sedangkan ; mendidik anak-anak dengan cemerlang adalah sumbangan terhebat kaum wanita buat Negara yang tidak mampu disaingi sama sekali oleh kaum lelaki. Wanita dikira silap apabila meletakkan 'standard' dan 'silibus' kejayaan lelaki (yang ditentukan Allah tentunya) sebagai 'standard' kejayaannya juga. Sedangkan, 'silibus' dan 'standard' kejayaan wanita adalah tidak sama dengan lelaki dalam banyak hal, saya tidak nafikan ada yang sama tetapi bukan dalam hal kerjaya.
Akibatnya berbondong wanita bekerja kerana menggangapnya sebagai satu KEJAYAAN dan kemuliaan baginya. Apabila kaum wanita hari ini didedahkan dengan pelbagai hadith Nabi berkenaan adab Islam yang perlu dituruti olehnya. Ramai yang merasakan ia seolah-olah mustahil dan tidak ‘up to date' sehinggakan dirasakan Nabi SAW tidak tepat dalam kata-katanya. Lebih buruk, adalah dituduhnya Nabi SAW bersikap ‘bias' atau berat kepada kaum lelaki, kerana baginda sendiri adalah lelaki. Lebih serius dari itu, yang menuduh Islam sudah ‘out dated'. La hawala wal quwwata Illa Billah.
Keperluan Wanita Bekerja & Anak Lelaki
Siti Khadijah juga adalah peniaga yang berjaya, tapi adakah sudah ditinjau kaedah beliau berjaya? Adakah beliau masih aktif berniaga selepas Nabi dilantik menjadi Rasul? Adakah disedari tatkala itu Islam belum disempurnakan kerana wahyu masih turun sedikit demi sedikit. Adakah Aisyah dan isteri Nabi yang lain berniaga? Adakah sahabat wanita berniaga dan meninggalkan suaminya di rumah?
"ala ustaz, suasana kan dah berubah" Kata wanita tentunya.
"baiklah, tapi ada beberapa displin hukum bagi wanita diluar rumah, tanggung jawab asas terhadap suami yang tidak berubah sehingga kiamat, sudah dijaga?" Tanya saya
Saya tidak menafikan keperluan wanita untuk bekerja hari ini, ia adalah satu fenomena yang sudah terlewat dan hampir tidak boleh untuk dielakkan. Namun, pandangan peribadi saya menyatakan, keperluan wanita untuk bekerja timbul hari ini adalah apabila timbul masalah kekurangan kaum lelaki yang berkemampuan untuk menjalankan semua tugasan yang sepatutnya dijalankan oleh mereka di luar rumah.
Walaubagaimanapun, adakah kita sedar antara punca kelemahan anak-anak lelaki dalam hal ini antaranya berpunca dari rumahnya ?.
"habis anak perempuan kenapa boleh berjaya pulak, sedangkan dari rumah yang sama?" mungkin itu yang akan dibalas oleh wanita kepada saya.
Pernahkah anda mempunyai anak lelaki ? Bagi yang pernah, saya kira perbezaan dalam menumpukan perhatian dan penjagaan anak lelaki sejak kecil adalah ketara berbanding kanak-kanak wanita.
Hasilnya, keagresifan anak-anak lelaki memerlukan lebih didikan dan tumpuan, tanpa tumpuan sebaiknya, anak lelaki berpeluang untuk menjadi kaki buli di sekolah, malas belajar, bermain lebih dari belajar, perosak anak wanita orang lain dan akhirnya mendapat ijazah rempitan di atas jalan raya dan dadah di pusat serenti. Nauzubillah.
Ia berbeza dengan anak wanita yang secara umumnya lebih mudah dibentuk ketika kecil.
Kerana itu, rumah atau pendidik di rumah yang terbaik adalah seorang IBU. Pendidikan di rumah teramat penting bagi mencorakkan sikap dan sifat anak-anak di hari kemudian, terutamanya kemampuan anak lelaki. Jangan harapkan lelaki untuk bijak mendidik anak mereka di rumah, secara UMUMnya, serba serbi dan sifat naluri lelaki memang kurang mampu menjadi pendidik anak di rumah dengan berkesan. Saya sebut secara umum tanpa menafikan ada yang berjaya juga.
Kelembutan & Kasih Yang Luntur
Apabila wanita yang mempunyai ciri hebat tadi menggunakan tenaga fitrahnya untuk mentadbir syarikat dan luar rumah, maka sudah pasti jarang yang mampu memberikan perhatian cukup kepada anak di rumah.
Suami tidak banyak boleh diharapkan dalam hal ini kerana sifat semulajadi mereka. Saya bukan ingin sentiasa memberi alasan, "sifat semulajadi" dan "fitrah"; tidak dinafikan ia boleh diubah dan dilatih, tetapi ia bakal gagal berfungsi sebagaimana yang dikehendaki walau sehebat manapun 'adjustment' dan 'latihan' yang cuba dilakukan. Malah ia mungkin boleh lebih memburukkan keadaan, seumpama memaksa kaum lelaki menjadi 'ballet dancer', dia mungkin berjaya dengan dedikasi latihan, tapi akhirnya ia menjadi 'lelaki lembut' yang bertentangan dengan kehendak Islam.
Anak lelaki tidak mendapat perhatian, kasih dan tumpuan secukupnya sejak kecil. Ia akan mengakibatkan berterusannya kekurangan tenaga lelaki yang mahir dan rajin di dalam industri pekerjaan, dalam masa yang sama pula peranan wanita yang lebih mudah dibentuk sejak kecil dan rajin, pasti terkehadapan. Lalu berbondong-bondonglah kaum wanita di tawar bekerja.
Di ketika itulah timbulnya isu, sukarnya wanita untuk menjaga auratnya semasa ia bekerja, ke sana ke sini, bermesyuarat di sana sini. Walhal, Allah SWT sememangnya tidak memperuntukannya untuk kaum wanita terlalu sibuk dan terbuka sedemikian. Malah juga tidak begitu tepat menurut fizikal dan mentalnya. Kemantapan mental, ketabahan sabarnya, kelembutannya pada hakikatnya adalah khas untuk anak-anaknya demi melahirkan keluarga, masyarakat dan Negara yang dipimpin oleh individu yang cukup kasih saying ibunya. Malangnya, sifat lembut, taat, sabar dan kehebatan 'pshcology' itu telah dihabiskan dan digunakan kepada kerjaya, ‘boss' dan kakitangan yang lain. Tinggallah yang 'hampas' dan sisa buat anak-anaknya dan suaminya mungkin.
Kaum lelaki secara purata sememangnya agak kurang mampu untuk bersabar dengan tangisan anak dan karenah mereka. Lalu dihantarlah anak-anak ini ke pusat penjagaan kanak-kanak. Kesan jangkan panjangnya, akan lahir anak-anak lelaki yang tidak ‘menjadi' akibat dididik oleh individu yang tidak professional lagi melepas batuk di tangga. Iaitu di kebanyakan TASKA yang menghimpunkan berpuluh kanak-kanak sekaligus dengan 3-4 orang wanita muda bujang sebagai pendidiknya. Mampukah anak-anak dididik dengan berkesan dalam suasana begini.?
Wanita dan Wangian Di Tempat Kerja
Antara kesilapan kerap yang dilakukan oleh kaum wanita apabila sudah keluar bekerja hari ini adalah berwangian dengan pelbagai jenis ‘perfume' sewaktu keluar dari rumahnya.
" Ala ustaz, takkan ustaz nak kami busuk ustaz" Tanya seorang wanita kepada saya.Busuk atau tidak itu adalah bergantung kepada sikap kebersihan seseorang. Diharuskan wanita memakai sabun ketika mandi, dan bauannya yang seidkit juga harus. Bagaimanapun, yang menjadi masalah kini adalah yang bergeluman dengan wangian, sehinggakan 30 meter jarak darinya pun sudah dapat dihidu baunya.
Nabi SAW mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya :Ertinya : "Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu dikhalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandangkan adalah mata yang berzina" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Albani : Hasan Sohih)
Tahukah kaum wanita bahawa lelaki normal mudah terangsang dan naik syahwatnya apabila menghidu bauan wangi si wanita?
"Tapi memang itu tujuan sebahagian mereka pakai wangian" Kata seorang wanita.
Jika itulah tujuannya, ia harus berdepan dengan seghala masalah dan bahaya dari kaum lelaki yang buas, ketika itu...janganlah ia marahkan lelaki tersebut.
Apabila sudah bekerja juga, banyak aurat yang terbuka di sana sini dengan hujjah ‘panas', sukar nak jaga, sukar nak bergerak, permintaan boss dan syarikat, ‘untuk nampak elegan' , supaya tak nampak macam mayat berjalan dan lain-lain lagi. Akhirnya dikorbanan hukum dan akhiratnya UNTUK DUNIANYA. Amat simpati saya terhadap kaum hawa sebegini. Allahul Musta'an.
Nabi SAW pernah bersabda :Ertinya : Tiada seorang wanita pun yang membuka auratnya (pakaiannya) di rumah atau tempat selain rumah suaminya (atau ayahnya tanpa kewujudan orang luar) kecuali dia telah merempuh tabir (sempadan yang digariskan) di antaranya dan tuhannya" (Riwayat Ahmad, 6/301 ; Albani : Sohih)
Komen Pedas
Mungkin ada wanita yang akan berkata :"Apa le ustaz ni, orang sedang cerita benda besar iaitu bab sumbangan wanita, tiba-tiba dia sibuk ulas benda-benda kecil tentang aurat pula, tak berkembang pemikiran langsung"
Saya kira, kata-kata begini perkara biasa bagi orang yang telah tersemat dunia dalam hatinya, sama macam orang yang sudah berjaya di dunia perniagaan, tiba-tiba dikingatkan tentang halal haram. Pastinya melenting dan memarahi orang yang mengingat sambil dicop 'ketinggalan' zaman, otak kuno dan lain-lain.
Pandangan rendah kerap diletakkan kepada isu-isu keagamaan, ia juga dipandang sebagai isu remeh temeh menurut akal manusia yang rosak. Aqal akan mengikut jalan yang betul bila bertpatan dengan kehendak Allah SWT. Pernah disebut sikap merendah sebarang perbincangan isu agama bagi mereka yang di kemuncak kejayaan dunia sebagai berikut :
Ertinya : Kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak, lalu apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata:"(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala.( Al-Qalam : 14-15 )
Nasihat Penghujung
Fikirlah tentang kehidupan menurut cara, priority dan kaedah yang ditunjukkan Allah dan RasulNya.
Akhir kata ; Saya tidak sesekali anti-wanita bekerja, sekadar memberikan beberapa sudut pandang agar sama-sama kita berfikir sahaja. Saya juga tidak meletakkan kesalahan kepada wanita, mereka perlu terus rajin dan maju dalam pendidikan mereka. Cuma harapan saya mereka jangan lupa 'silibus' kejayaan mereka berbeza dengan lelaki dalam beberapa hal. Pelajarilah..
Wanita yang terbaik adalah Maryam, Fatimah dan Khadijah...pelajarilah tentang mereka bagaimana untuk mendapatkan hidup indah di akhirat yang kekal buat selamanya. Ameen..
Dipetik dari:http://www.zaharuddin.net