Sukarnya mencari cinta


Izinkan saya berkongsi pengalaman saya dengan semua teman-teman di ruangan ini. Biarpun amat berat untuk saya terima semua ini namun saya kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan ini.

Untuk pengetahuan putri saya berumur 26 tahun tetapi sampai sekarang saya masih belum berkahwin, nak kata saya tidak ada penampilan diri tidak juga, saya boleh dikategorikan dalam wanita-wanita yang mempunyai kecantikan tersendiri.

Dalam umur saya sekarang, sudah banyak pengalaman bercinta tetapi semuanya tidak kekal lama. Saya pun tidak tahu kenapa perkara sebegini berlaku pada saya. Sebelum ini saya pernah bercinta dengan seorang yang lebih muda dua tahun daripada saya.

Hubungan kami tidak kekal lama hanya bertahan selama setahun sahaja. Mungkin kami tidak ada keserasian bersama. Saya pernah juga terjebak bercinta dengan suami orang tapi saya tidak sanggup hendak menjadi perampas.

Untuk pengetahuan Putri juga, keluarga saya sudah mendesak untuk saya berkahwin tetapi sampai sekarang saya masih belum ada calon yang sesuai. Paling menyedihkan saya, ibu bapa saya pernah cakap jangan sampai mereka tidak sempat terima menantu dan cucu. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu, betapa sedih yang teramat sangat. Saya cuba untuk membuat yang terbaik untuk mereka tetapi kita hanya mampu merancang, Dia yang menentukan segalanya. Sekarang saya cuba berkawan dengan A. Tetapi sampai sekarang saya tidak boleh terima dia sebagai teman hidup saya. Saya sudah cuba keluar makan dengan dia, sebab ada orang cakap kalau keluar selalu mungkin boleh timbul perasaan sayang antara kami berdua tetapi sampai sekarang saya tidak rasa semua itu. Saya sendiri pelik kenapa saya tidak boleh terima dia. Saya pernah terfikir bahawa saya terima sahaja dia walaupun saya tidak ada perasaan sayang dengan dia. Saya terima dia pun disebabkan kebahagiaan ibu bapa. Adakah betul tindakan saya ini putri? Apa yang perlu saya lakukan sekarang? Bagaimanakah caranya untuk ada perasaan sayang dekat dia? Tolonglah putri, saya amat perlukan pendapat atau nasihat dari putri.

*Insan kecewa, Pahang

Insan Kecewa,

Putri memahami perasaan saudari yang mengalami dilema kerana desakan keluarga agar berkahwin segera. Hakikatnya, cinta tidak boleh dipaksa. Namun, cinta boleh dipupuk sedikit demi sedikit. Ramai yang bahagia dalam alam rumah tangga mereka walaupun bercinta selepas berkahwin. Cinta bukan penghalang jodoh. Dalam hal ini, saudari boleh melakukan sembahyang istikharah. Dapatkan petunjuk daripada Tuhan sama ada A benar-benar jodoh yang telah ditetapkan-Nya. Insya-Allah, saudari pasti mendapat jawapan sekiranya dilakukan dengan hati yang benar-benar ikhlas. saudari juga boleh berkongsi masalah ini bersama ibu saudari. Mungkin dia boleh memberi nasihat dan saranan kepada saudari apa yang perlu dibuat. Kenalkan juga A kepada keluarga saudari, jika mereka memang berkenan dengan si A, saudari mungkin boleh berusaha menerima A. Dalam percintaan, kadang-kadang kita terlupa kebahagiaan orang sekeliling. Jangan terlalu susah hati, pada usia 26 tahun, belum dikira terlewat lagi untuk berkahwin. Mungkin masa dan jodoh belum tiba lagi. Dalam pada itu, Putri memuji tindakan saudari yang berusaha mencari teman hidup demi membahagiakan ibu bapa. Namun, jangan tergesa-gesa, buatlah keputusan yang terbaik kerana perkahwinan itu adalah sebahagian kehidupan saudari.

http://www.utusan.com.my/