KARACHI: Saira Jatoi tidak pernah mengenal erti kegembiraan sejak bertindak kahwin lari dengan suaminya Ismail Soomro dan pasangan itu terpaksa tinggal di sebuah balai polis di Pakistan tanpa wang dan sentiasa dalam ketakutan dan bimbang akan dibunuh anggota keluarga masing-masing.
“Saya baru menjual sebentuk cincin emas, itulah harta terakhir saya dan sekarang kami tidak mempunyai apa-apa untuk menjalani hidup yang lebih baik," kata Saira, 22, dari biliknya yang berlantai simen dan kotor, tempat beliau tinggal bersama Ismail dan anak lelaki mereka berusia lapan bulan.
Pasangan itu berkahwin di bandar Sukkur dua tahun lalu tanpa keizinan ibu bapa kedua-dua pihak, serta-merta menimbulkan kemarahan ibu bapa Saira dan pemimpin puak Jatoi yang terkenal konservatif.
Ibu bapa Saira mahu beliau berkahwin dengan seorang lelaki kaya tetapi sudah tua dan uzur daripada puak mereka sendiri.
Bagaimanapun, selepas bertemu Ismail pada satu majlis perkahwinan - Saira adalah tetamu jemputan, manakala Ismail diupah membuat rakaman video majlis itu - beliau menolak kehendak kedua-dua ibu bapanya dan berkahwin dengan lelaki yang dicintainya.
Sedar bahaya yang terpaksa dihadapi, pasangan pengantin baru itu melarikan diri dan mendapat perlindungan polis. Pemimpin puak Jatoi mengadakan sidang mahkamah puak, yang diharamkan kerajaan Pakistan, tetapi masih berleluasa di kawasan luar bandar Pakistan. Ismail dan Saira dijatuhi hukuman mati tanpa kehadiran mereka.
Di beberapa bahagian di wilayah Sindh, tidak banyak perkara berubah sejak beberapa abad lalu dan di sebalik kepesatan pembangunan di bandar besar seperti Karachi dan Islamabad, penduduk dari wilayah puak masih melakukan pembunuhan ke atas lelaki dan wanita yang mereka dakwa melakukan 'karo-kari' atau terbabit dengan maksiat, termasuk berkahwin atas dasar percintaan.
Polis memberi perlindungan untuk Ismail dan Saira dan mengarahkan mereka ke Karachi yang mempunyai 14 juta penduduk demi keselamatan mereka.
Sejak lebih setahun lalu, mereka tinggal di sebuah bilik kecil di ibu pejabat polis daerah yang berhalaman kecil tidak jauh dari sebuah zoo.
Mereka jarang meninggalkan bilik itu dan Ismail tidak bekerja berikutan bimbang jika terserempak dan anggota puaknya pastinya dia ditangkap dan dibunuh.
"Mereka selamat di sini tetapi tempat ini tidak sesuai untuk mereka kerana ia sentiasa sibuk dan mereka jarang dapat bersendirian," kata seorang pegawai polis.
Statistik yang dikumpulkan oleh Yayasan Aurat, sebuah pertubuhan hak asasi wanita bebas menunjukkan sepanjang tahun lalu, 550 orang menjadi mangsa pembunuhan maruah di seluruh Pakistan. Lebih separuh daripada mereka iaitu seramai 204 orang wanita dan 96 lelaki dibunuh di Sindh.
Dalam satu kes, sekumpulan lelaki puak menanam hidup-hidup tiga gadis sebagai hukuman kerana cuba memilih suami mereka sendiri, manakala dalam satu lagi kes seorang gadis dicampakkan ke arah sekumpulan anjing liar, sebelum ditembak pemimpin puak.
Kumpulan hak asasi berkata, wanita Pakistan menderita diskriminasi yang amat teruk, keganasan rumah tangga, pembunuhan maruah dan semakin terasing berikutan penyebaran fahaman sempit mengenai Islam.
Satu rakaman video terbaru menunjukkan seorang wanita diseret dan dibelasah di barat laut Pakistan, meningkatkan kebimbangan terhadap pengaruh Taliban yang bakal menambah lagi penderitaan wanita di Pakistan.
“Kes yang dilaporkan mewakili sejumlah kecil kejadian sebenar mengenai keganasan terhadap wanita yang jarang dilaporkan di luar keluarga," kata Anis Haroon, pengarah Yayasan Aurat.
Saira dan Ismail tidur di atas sebuah katil kayu yang sudah usang, tempat yang sama Saira sakit hendak bersalin. Satu-satunya masa mereka meninggalkan bilik itu ialah apabila Saira melahirkan anaknya Husnain di sebuah klinik berhampiran.
Di bilik kecil itu mereka membuat sebuah buaian untuk Husnain di antara katil dan dinding. Mereka hanya mempunyai sebuah kotak kecil yang diletakkan di sudut bilik untuk menyimpan pakaian.
Pasangan itu tidak mempunyai wang dan sering kelaparan, malah tidak mampu menyediakan makanan yang cukup untuk Husnain.
"Kami tidak mempunyai wang bagi membeli bijiran untuk bayi kami. Tiada wang yang tinggal untuk Husnain," katanya.
Si bayi kelihatan lemah dan mengalami ruam. Bilik yang dihuni itu amat panas dan kipas kecil di siling tidak memberi sebarang kelegaan.
"Makanan yang diberi kepada kami sekali sehari tidak bersih dan ia sering menyebabkan saya sakit. Bagaimana kami boleh memberikannya kepada Husnain," kata Ismail.
Puak Jatoi yang mana Saira adalah anggotanya dijatuhkan hukuman mati melalui mahkamah puak dikenali jirgas, yang diharamkan di Sindh lima tahun lalu tetapi masih berleluasa.
Dalam kes pembunuhan maruah, wanita yang dianggap sebagai 'kari' boleh dibunuh oleh mana-mana anggota puak dan tidak akan dihukum.
Dalam beberapa kes, wanita dan gadis digunakan sebagai 'bayaran' untuk menyelesaikan perbalahan.
"Di sebalik pengharaman itu, 61 jirgas diadakan membabitkan masalah wanita sepanjang tahun lalu dan seramai 38 wanita diserahkan kepada puak lain sebagai pampasan untuk menyelesaikan konflik puak atau masalah perkahwinan," kata aktivis hak asasi, Lala Hassan.
Beliau berkata, masalah itu semakin meningkat dan kerajaan tidak melakukan banyak tindakan untuk mengatasinya secara berkesan," katanya.