Maryam dihantar ke Baitul Maqdis


PANDANGAN di kota Baitul Maqdis. Di sinilah Maryam mengabdikan dirinya kepada Allah.


PADA suatu malam yang sunyi, Maryam dibawa ke Baitul Maqdis oleh ibunya, Hannah."Aku serahkan anakku ini kepada tuannya. Sebelum ini aku sudah bernazar untuk menyerahkan anakku menjadi hamba abdi di rumah suci ini," kata Hannah kepada pendeta-pendeta di situ.

"Baiklah, kami akan menjaga anakmu ini," balas pendeta-pendeta tersebut.

Setelah Hannah pulang, tinggallah Maryam di tempat suci itu. Ramai pendeta berebut untuk memelihara Maryam.

Pelbagai alasan diberi mereka agar dapat mengasuh Maryam. Pendeta yang paling tegas sekali ialah Nabi Zakaria. Baginda menyatakan bahawa baginda mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga Imran, iaitu keluarga Maryam.

Semua pendeta tidak mahu mengalah. Mereka sepakat membuang pensel masing-masing ke dalam sungai. Pensel siapa yang tidak tenggelam, maka dialah yang berhak menjaga Maryam.

Hanya pensel Nabi Zakaria sahaja yang tidak tenggelam. Maka Maryam pun diserahkan kepada Nabi Zakaria. Nabi Zakaria memelihara Maryam dengan penuh kasih sayang dan dijaga seperti anaknya sendiri.

Suatu hari, Nabi Zakaria ke bilik Maryam. Baginda terkejut apabila melihat sedulang makanan berada di depan pintu bilik Maryam. Baginda pun segera bertanya kepada Maryam: "Dari mana datangnya makanan ini semua?"

"Makanan ini adalah daripada Allah. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab," balas Maryam.

Melihat kepada keperibadian Maryam yang mulia itu, Nabi Zakaria berharap agar baginda juga dikurniakan cahaya mata. Allah telah mengkabulkan doa Nabi Zakaria.

Isteri baginda yang sudah tua itu pun mengandung. Nabi Zakaria sungguh gembira apabila dikurniakan seorang anak lelaki. Anak itu diberi nama Yahya. Yahya adalah salah seorang nabi Allah.

Maryam terus membesar menjadi seorang wanita soleh yang amat dihormati. Beliau amat suci dan menjadi contoh kepada semua orang lain. Maryam juga merupakan seorang perempuan yang sangat mulia.

Beliau amat taat dalam melaksanakan perintah Allah dan sentiasa menjauhi perbuatan maksiat dan dosa. Setiap hari yang dilaluinya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah.

Sebagai memenuhi syarat ibu Maryam serta menunaikan nazar ketika beliau mengandungkan Maryam dahulu, Maryam diletakkan di sebuah biara di dalam Masjid al-Aqsa. Di sanalah beliau menumpukan ibadah kepada Allah SWT.

Kesucian beliau terpelihara kerana beliau tidak pernah keluar dari biliknya apatah lagi untuk dilihat dan disentuh oleh mana-mana lelaki.

*Petikan daripada buku Untaian 366 kisah-kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.