Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
WALAUPUN kanser pangkal rahim antara penyakit lazim di negara kita dan kerap dibincangkan, ia masih menggerunkan, apatah lagi jika lewat dikesan.
Bagaimanapun, kebanyakan perbincangan tertumpu pada aspek penyakit dan ramai terlupa bahawa kanser seperti itu bukan sekadar penyakit, tetapi boleh dianggap sebagai isu keluarga kerana memberi kesan terhadap setiap anggota keluarga.
Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr Saunthari Somasundram, dalam bengkel Kesan Psikososial Kanser Pangkal Rahim anjuran Merck Sharp & Dohme Malaysia, baru-baru ini, berkata disebabkan terlalu menumpukan perhatian kepada penyakit, tidak ramai terfikir mengenai kesan dialami pasangan serta anak.
Malah, beliau berkata, tumpuan utama di kalangan pakar perubatan adalah untuk merawat dan menyembuhkan penyakit, sedangkan hakikatnya kesan psikologi juga perlu diberi perhatian sewajarnya.
Ini kerana jika seseorang kuat semangat dan berfikiran positif, penerimaan badan terhadap rawatan jauh lebih baik.
Bukan mudah untuk memahami emosi dan psikologi pesakit kanser. Apabila diberitahu menghidap kanser pangkal rahim, seseorang mengalami tekanan daripada tiga aspek iaitu:
Pembuangan ovari bermakna pesakit mengalami menopaus dan pada masa sama mereka diberi rawatan kemoterapi dan radioterapi (radiasi). Bagi kanser pangkal rahim, ubat radioterapi diberi melalui faraj dan ia bertindak (membunuh sel kanser) dari dalam badan. Kesan sampingannya, sel faraj mengalami keradangan, menyebabkan ia mengecut dan menjadi sempit selepas beberapa ketika. Untuk mengatasinya, pesakit disaran mengadakan hubungan seks dengan lebih kerap tetapi idea ini dianggap ‘merepek’ bagi kebanyakan wanita. Ramai pesakit kanser kehilangan pekerjaan kerana perlu mengambil cuti sehingga enam bulan untuk rawatan. Ini sebabnya ramai pesakit kanser, terutama lelaki yang menjadi sumber tunggal pendapatan keluarga, tidak mendapatkan rawatan kerana jika mereka tidak bekerja, bermakna anak isteri akan kelaparan. Masalah kewangan ini lebih dirasai golongan pertengahan yang berpendapatan sederhana atau bekerja sendiri kerana mereka tidak layak mendapat bantuan tabung kebajikan. Menurut Dr Saunthari, dalam isu kanser payudara atau membabitkan bahagian peranakan, hanya 10 peratus wanita menyuarakan kebimbangan dan 90 peratus lagi menunggu doktor memulakan perbincangan mengenainya. Antara isu lain yang perlu diketahui ialah masalah kesuburan dan menopaus awal di kalangan wanita muda selepas mendapat rawatan. Kesan kanser pada imej diri dan seks Beliau berkata, tidak kira berapa pun umur pesakit, kesan dialami tetap sama, cuma tamparannya mungkin lebih besar pada wanita muda yang sangat mementingkan imej diri. “Kehilangan fungsi seksual (akibat rawatan) boleh berlaku pada semua pesakit kanser walaupun kehidupan seks mereka aktif. Bagaimanapun, isu seks ketika dan selepas rawatan jarang dibincang. Malah, pesakit kurang selesa untuk membincangkannya,” katanya. Selepas tiga tahun mendapat rawatan, kajian menunjukkan 47 peratus wanita hilang keinginan terhadap seks, 48 peratus sukar rasa berahi, 64 peratus alami masalah kekeringan faraj dan 52 peratus lagi sukar mencapai orgasma (kemuncak seks). Didapati 50 hingga 60 peratus wanita kehilangan fungsi seks selepas 12 bulan menerima rawatan kemoterapi dan radioterapi. Pada peringkat awal, keguguran rambut, faktor hormon, kelesuan, rasa mual dan muntah membuatkan soal seks tidak terlintas di fikiran wanita. Selain itu, penerimaan wanita terhadap diri sendiri yang dianggap kurang sifat kewanitaan menjejaskan keinginan terhadap seks. Pasangan turut ada dalam keadaan serba salah — sama ada patut mengadakan hubungan seks atau sebaliknya. Pada pasangan, timbul persoalan seperti siapa patut memulakannya, adakah mereka wajar meminta, jika meminta, mereka mungkin dilabel tidak memahami keadaan dan jika sebaliknya, suami mungkin dikatakan tidak peduli dan tidak lagi menyayangi isteri. “Dari awal lagi (sejak disahkan menghidap kanser), pesakit kurang dibekalkan dengan pengetahuan mengenai kesan terhadap seks kerana kebanyakan doktor hanya memberi tumpuan untuk merawat penyakit. “Masalah ini timbul kerana kakitangan perubatan kurang kemahiran, tidak selesa dan tidak tahu bila masa sesuai untuk membincangkan isu seks dengan pesakit kanser pangkal rahim. Pesakit mungkin tidak mahu membicarakan isu seks dengan jururawat yang jauh lebih muda daripada mereka, apatah lagi jika jururawat itu belum berkahwin. “Namun setiap pasangan berbeza. Ada pasangan berkata kanser merapatkan hubungan suami isteri dan sebaliknya. Tidak kurang wanita ditinggalkan suami hanya kerana mereka menghidap kanser pangkal rahim dan dianggap tidak boleh menjalankan tugas sebagai isteri,” katanya. Kanser dan keluarga Tidak dinafikan biasanya perhatian lebih tertumpu pada pesakit, menyebabkan pasangan dan anak seolah-olah diketepikan. Biasanya pasangan dinasihatkan menjaga, meluangkan lebih banyak masa dan memenuhi keperluan pesakit. Soalnya, bagaimana pula perasaan pasangan dan anak? Tiada siapa memberi sokongan kepada mereka dan anak biasanya menjadi orang terakhir yang diberitahu mengenai keadaan pesakit. Kanser boleh menjejaskan perjalanan keluarga kerana apabila ibu sakit, tugasan rumah tangga terhenti dan secara tiba-tiba tanggungjawab ini berpindah di bahu anak pasangan atau anak sulung. “Rasa bersalah dan sedih kadangkala membuatkan seseorang membuat keputusan kurang tepat. Dalam keadaan begini, suami isteri perlu bersatu kerana mereka adalah tonggak keluarga. “Pasangan juga mengalami kesan sama seperti pesakit. Jika isteri sakit, suami sedih dan takut dengan kemungkinan kehilangan orang tersayang. Jadi mereka juga memerlukan sokongan keluarga dan pakar perubatan. “Ahli keluarga lain boleh membantu dalam urusan rumah tangga, persekolahan anak dan bersedia meluangkan masa untuk penjaga (pasangan). Ini sedikit sebanyak menguatkan semangat penjaga untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya. Bagaimana dengan kanak-kanak? Kanser meletakkan sesebuah keluarga dalam keadaan tegang. Kanak-kanak merasai tekanan ini dan kajian menunjukkan 35.5 peratus kanak-kanak yang ibu atau bapa diserang kanser bermasalah di sekolah ada masalah dengan kawan (37.8 peratus) dan mengalami gangguan kesihatan akibat kesan psikologi (40 peratus). “Tanpa disedari, kanak-kanak menerima kesan psikologi paling teruk apabila ibu atau bapa sakit. Kira-kira 20 peratus kanak-kanak ini dilaporkan alami keresahan, manakala 30 peratus remaja dikesan alami tekanan psikologi. “Bagaimanapun, mereka tidak meluahkan masalah ini kepada adik beradik atau kawan. Sebilangan kecil pelajar mendapatkan sokongan daripada kaunselor sekolah. Masalahnya, ada guru kaunselor tidak tahu mengenai kanser dan ini menyebabkan mereka gagal menenangkan perasaan pelajar,” katanya. Ada ibu bapa cuba menyembunyikan atau tidak mengetahui kaedah terbaik untuk menerangkan apa yang berlaku kepada anak, terutama di peringkat prasekolah atau sekolah rendah, kerana menganggap mereka masih terlalu kecil untuk memahami keadaan sebenar. “Ini lebih ketara di kalangan ibu tunggal. Ibu bapa anggap cuba melindungi anak dengan merahsiakan perkara sebenar. Biasanya anak lebih besar diberitahu, jika bercakap pun hanya ala kadar dan bukan bertujuan menyelami perasaan si kecil. “Kanak-kanak dapat memahami keadaan ibu bapa jika diberitahu dengan baik. Kira-kira 28 peratus kanak-kanak tidak puas hati dengan cara pemberitahuan, maklumat terlalu sedikit dan kelewatan diberitahu mengenai penyakit ibu atau bapa mereka. “Kajian di luar negara mendapati satu pertiga (33 peratus) kanak-kanak berasa ibu bapa mereka tidak melakukan apa-apa pun untuk membantu mereka menghadapi tekanan keluarga. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak supaya memahami mengapa sesetengah kehendak tidak dapat dipenuhi atau kenapa perlu membantu tugasan rumah,” katanya. Langkah yang boleh membantu: Perkara yang perlu dielakkan: Langkah membantu > Bercakap dan berbincang dengan anak > Kekalkan rutin dalam keluarga > Agih-agihkan tugasan di rumah > Beritahu anak bahawa penyakit itu bukan disebabkan kesalahan mereka > Galak anak menyertai aktiviti digemari supaya fikiran anak tidak hanya tertumpu pada penyakit anda yang boleh membuatkan mereka berasa sedih > Beritahu maklumat mengenai penyakit anda secara berperingkat-peringkat > Benarkan orang lain (ahli keluarga atau rakan rapat) memberi sokongan atau menjadi tempat anak meluahkan perasaan > Beri peluang dan galak anak menyatakan pendapat atau masalah mereka > Maklumkan pada pihak sekolah mengenai penyakit anda |