Ayah baik setahun saja


TIDAK ada apa yang menggembirakan anak-anak selain daripada melihat kehidupan mereka sempurna lengkap dan mendapat pendidikan yang baik, makan minum tersedia, pakaian silih berganti dan terlebih rumah tangga ibu bapa mereka aman damai.

''Namun kami faham bukan semua anak-anak dapat menikmati kehidupan yang sempurna apa lagi kebahagian hidup keluarganya, kerana bukan mereka yang menentukan selain pasangan suami isteri itu sendiri dan ketentuan Allah.

''Namun kami adalah sebahagian dari anak-anak malang yang tidak dapat menikmati kebahagian hidup dalam keluarga kerana sikap dan perangai ayah yang tidak pernah menyenangkan hati kami adik beradik. Keadaan seperti ini bukan baru berlaku, tetapi sejak lima enam tahun lalu, sejak kami kecil lagi.'' Demikian cerita Zukhne dalam e-melnya kepada penulis.

''Sebagai anak sulung saya dapat melihat banyak perubahan berlaku dalam keluarga kami, dulu semasa kecil, kami sering melihat ayah pulang lewat malam, kata emak ayah bekerja. Ayah seolah-olah tak ada hari cuti, sentiasa bekerja tidak seperti jiran-jiran kerana saya sering melihat mereka memanggil kawan-kawan saya pulang dari padang ketika kami ghairah berlari mengejar bola.

''Tapi saya tak pernah lihat ayah, dah malam baru balik, kadang tu tak jumpa langsung sebab tak balik terus, ataupun balik jauh malam setelah kami tidur.

''Begitulah perangai ayah sehinggalah kami besar, kini barulah kami tahu ke mana sebenarnya ayah pergi, tetapi saya tak mahu bertanya emak sebab saya tak mahu lihat emak sedih dan bercakap bohong melindungi dan membela ayah.

''Namun saya dan adik-adik seramai empat orang gembira kerana emak sentiasa bersama membantu kami mengulang kaji pelajaran, menasihat kami supaya rajin belajar, memberi kami wang bila sekolah memerlukan, membeli pakaian dan segala peralatan dan persiapan untuk kami ke sekolah.

''Ayah tak pernah bawa kami pergi beli pakaian baik pakaian sekolah ataupun untuk Hari Raya, semuanya emak yang belikan. Bila kami tanya emak banyak duit, emak kata duit ayah yang beri. Tepi kami hairan juga kerana kami sering dengar ayah selalu minta duit pada emak. Bila emak kata tak ada duit ayah akan meninggikan suara. Marah-marah. Akhirnya emak bagi juga duit pada ayah sebab takut kena pukul.

''Mangsanya kamilah, bila kami perlukan duit untuk beli barang keperluan sekolah, emak kata tunggu cukup bulan bila emak dapat gaji. Untuk duit belanja ke sekolah, biasanya akan dikurangkan, emak suruh kami bawa bekal ke sekolah.

''Bila dah besar barulah saya faham apa yang terjadi antara mereka. Kadang tu kami terdengar emak marahkan ayah sebab suka balik lewat malam, suka berjudi, main ekor dan suka belanja pada wanita lain. Biasanya ayah menafikan dia ada teman wanita.

''Bila saya dah belajar di IPTA, barulah emak bercerita pada saya, tentang keresahan hatinya, kerana ayah banyak buat hubungan dengan ramai wanita. Pernah emak ajak saya temankannya jumpa wanita tersebut, emak merayu dia supaya tak ganggu ayah lagi. Sakitnya hati saya bila wanita itu kata emak tak tahu jaga laki sebab itu ayah cari dia.

terbongkar

''Bila rahsianya terbongkar ayah akan bertukar jadi baik, selalu balik awal, dan mulalah tunjuk muka manis kepada saya bila balik ke rumah. Tapi saya dah masak dengan perangai ayah, dia buat baik cuma sementara, paling lama setahun, biasa lepas tiga empat bulan ayah balik semula kepada perangai lamanya, suka berjudi.

''Saya puji perangai emak kerana dia terlalu baik, sabar dengar perangai ayah yang selalu menyusahkannya, tetapi pada saya kebaikan emak bukan membawa kebaikan, sebaliknya merosakkan hidup ayah. Di samping membuatkan kami adik beradik bencikan perangai ayah, yang tak bertanggungjawab dan suka pukul emak.

''Saya kesian tengok emak berusaha sedaya upaya mempertahankan perkahwinannya, kerana dia sayangkan ayah, tetapi ayah tak sayangkan emak. Masa saya bersekolah rendah saya sering dengar ayah marahkan emak dan membodoh-bodohkan emak. Tapi emak diam aja. Sebab takut kena pukul.

''Kadang tu bila emak pergi kerja, ayah pulang ke rumah mencari sesuatu. Bila barang yang dicari tak jumpa dia akan memaki hamun emak depan kami dan mengutuk emak perempuan bodoh, tak berguna dan macam-macam lagi.

''Kini kami adik beradik semakin bencikan perangai ayah, terutama bila ada wanita yang datang menyerang emak di rumah. Orang seperti ayah dah tak makan nasihat. Penasihat dari langit pun tak guna, dia ikut nafsu sendiri. Dan tak payahlah nak nasihatkan kami adik beradik, sebab kami tahu siapa ayah dan siapa ibu kami, kami tahu membezakan buruk dan baik, dosa dah pahala. Lagipun selama ini kamilah yang menanggung derita akibat perbuatan ayah yang mementingkan nafsu sendiri.

''Namun saya bersyukur kerana kesabaran emak kami adik beradik mendapat pelajaran yang sempurna, saya sudah bekerja. Tetapi kekasih ayah yang terakhir ini nampaknya boleh membuat emak dan ayah bercerai. Dia bukan setakat bercinta dengan ayah sedangkan dia sudah bersuami, malah dia berani menyerang emak, bila emak cuba menasihatkan dia supaya jangan menganggu ayah. Nasib saya ada dapatlah saya mempertahankan emak dari kena pukul.

''Kini, bila usia meningkat (sudah 50 tahun) emak sudah berubah, emak nampak sudah bersedia menerima apa juga keadaan kalau pun dia diceraikan. Emak sudah hilang sabar, mungkin emak malu kepada kami, atau mungkin emak tidak bimbang lagi kerana kami sudah dewasa dan boleh berdikari.

''Baru-baru ini ayah mengamuk, emak menjawab, terjadilah pertengkaran hebat, ayah cuba pukul emak, saya terpaksa tolak ayah dan dia jatuh. Saya kena maki hamun. Sejak itu dah sebulan ayah tak balik.

''Saya terfikir jika mereka bercerai ke mana ayah nak pergi? Ayah tak ada rumah, rumah yang kami duduk ini pun milik emak. Mungkin dia boleh menyewa rumah lain, atau berkahwin dengan kekasihnya. Tetapi ditakdirkan ayah sakit (kini sudah lebih 50 tahun) mahukah isteri barunya menjaganya? Mungkin ketika itu ayah tidak ada duit lagi untuk menyara hidupnya. Apakah ayah akan dihantar ke rumah orang tua-tua?

''Mungkin pemikiran saya sudah terlalu jauh dan mungkin tak terjadi, tapi ditakdirkan terjadi saya malu ayah duduk rumah kebajikan, namun itu bukan kerana saya, tetapi kerana perangainya yang menganiaya dirinya sendiri.''

Demikian cerita Zukhne melahirkan rasa kerisauannya kerana perangai ayahnya yang tidak pernah berubah. Jika seorang anak yang masih muda boleh memikirkan nasib ayahnya ditakdirkan berlaku penceraian mengapakah seseorang ayah yang telah cukup matang tidak boleh berfikir tentang masa depannya?