Sah! Perempuan memang emosional


BRO menerima pelbagai reaksi berhubung tulisan minggu lalu mengenai poligami, ada yang menyokong dan ada pula yang ‘belasah’ Bro. Apa pun pandangan mereka Bro tetap terima dan hormati.

Namun begitu Bro tidak setuju kalau ada perempuan yang penuh emosi menolak poligami dan melihat perkara itu dari segi keburukan sahaja. Malah paling Bro menyampah apabila perempuan yang kata lelaki tambah isteri semata-mata untuk memuaskan nafsu seks.

Perempuan yang berfikiran seperti inilah yang merendahkan martabat perempuan itu sendiri. Kenapa perlu berfikiran sedemikian? Apakah benar perempuan hanya menjadi hamba seks untuk lelaki?

Sebab itulah Bro selalu nasihatkan kalau hendak berhujah jangan emosional, berilah pandangan yang bernas dan berasaskan kepada akal yang tenang. Tetapi yang Bro tengok, sahlah perempuan ini memang emosional.

Bro dah kata berkali-kali Bro menentang sebarang kezaliman kepada kaum wanita, begitu juga Bro cukup benci kalau ada lelaki yang berkahwin baru, beri alasan isteri barunya itu adalah ciri-ciri perempuan yang dia inginkan, sedangkan sebelum ini dia dah beranak pinak dengan isteri terdahulu, kenapa baru sekarang nak cakap soal ciri-ciri.

Poligami

Jadi Bro sentiasa objektif, yang benar tetap benar yang salah tetap salah tetapi Bro tidak boleh terima hujah yang melihat lelaki salah semuanya. Perempuan pun ada juga salahnya.

Poligami adalah perkara yang dibenarkan oleh Allah, justeru jangan melihat ia dari segi keburukan semata-mata. Kenapa tidak mahu melihat contoh yang baik dalam poligami?

Jangan menghukum kebenaran Tuhan hanya semata-mata kerana dikuasai oleh emosi, kalau kita tak suka kepada poligami, jangan pengaruhi orang lain untuk membencinya.

Bro pun dah tegaskan bahawa poligami berhak dilakukan oleh lelaki yang berkemampuan dan tahu tanggungjawabnya. Bro tak kata semua lelaki boleh berpoligami. Kalau sedar diri tak mampu janganlah gatal-gatal hendak berpoligami dan si perempuan pula jangan pula terhegeh-hegeh bersedia dimadu.

Jadi Bro hendak nak nasihatkan perempuan-perempuan yang taksub menentang poligami ini, janganlah dangkal sangat dalam memperkatakan soal ini. Bukan semua perempuan yang dianiaya terlibat dalam poligami, banyak lagi kes lain menyebabkan mereka jadi macam tu. Jumpa lagi minggu depan.

Bro – Tetap sokong poligami