Rugi lengah berkahwin
Faktor kewangan, urusan rumah tangga dan anak-anak tidak sepatutnya menjadi alasan untuk melambatkan perkahwinan pasangan muda hari ini.
MEMETIK kata dari buku bertajuk Membina Rasa Cinta, nukilan pakar motivasi, Dr. HM Tuah Iskandar, cinta lahir bersama lahirnya manusia. Ia satu perasaan yang sukar difahami. Anda tidak boleh lari daripada cinta kerana semakin anda cuba menyendiri semakin ia datang menghampiri.
Kata orang dahulu pula, tidak elok bercinta lama-lama, takut nanti dikebas orang. Pepatah ini membuktikan bahawa jalinan cinta yang sudah lama dibina sepatutnya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.
Justeru itu, jangan berlengah untuk menggapai waktu kemuncak ke alam pernikahan. Ini kerana cinta tidak akan berakhir dalam sebuah kehidupan yang hakiki.
Setiap insan inginkan kebahagiaan, disayangi, dibelai, dihargai dan dihormati oleh apa yang dinamakan cinta. Menurut Tuah, waktu bercinta, cintalah pasangan seadanya dan apabila berkahwin, cintalah pasangan sebenar-benarnya.
Dalam meniti usia yang semakin lewat senja, rugi sekiranya ada dalam kalangan kita melewatkan perkahwinan, biarpun tiada lagi yang ingin dipertaruhkan kala percintaan sedang membara.
Kata Tuah, tempoh menjalinkan hubungan cinta yang terlalu lama boleh mendatangkan impak pada sesebuah kebahagiaan yang dinikmati dalam alam percintaan. Ini sekali gus akan meletakkan pasangan berhadapan dengan pelbagai risiko tanpa dipinta.
"Saat dilamun cinta, janganlah sesekali membiarkan masa berlalu dengan begitu lama, takut ia mengundang perkara yang tidak diingini. Antara risiko yang mungkin melanda pasangan ialah rasa bosan yang tidak diduga dan boleh muncul pada bila-bila masa.
"Cinta yang dibina sejak sekian lama tidak semestinya boleh menimbulkan rasa kasih dan sayang yang berterusan. Pasangan mungkin beralih pandangan pada suatu sudut yang berbeza. Ia boleh membentuk rasa bosan, hilang perasaan, keraguan dan kurang keyakinan terhadap pasangan.
"Perlu diingatkan, cinta tidak semestinya indah. Ia selalunya dipenuhi 1001 rasa termasuklah marah, merajuk, sedih, ungkit-mengungkit, sakit hati, gaduh, tidak mengerti dan dendam yang tiada kesudahannya," ujarnya.
Jelasnya, faktor kewangan, urusan rumah tangga dan anak-anak tidak sepatutnya menjadi alasan pasangan hari ini untuk lambat berkahwin.
"Ketakutan membiayai kehidupan, sememangnya menjadi alasan yang kini menghantui ramai pasangan khususnya golongan lelaki untuk mendirikan rumah tangga. Sebenarnya, rezeki seseorang akan bertambah sekiranya dia membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
"Pernahkah kita mendengar, orang yang mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata selama ini, tidak mampu menyara hidup bersama anak-anak? Walaupun tidak semewah yang diharapkan, tetapi mereka tetap dianugerahkan keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri," tegasnya.
Jadi, katanya, berfikirlah sebelum melakukan suatu perkara yang membatasi perhubungan.
Menurut Tuah, tidak elok dipandang sekiranya bercinta terlalu lama.
"Cinta bukan sahaja mengajar seseorang erti kebahagiaan dan kematangan, tetapi ia juga boleh mendorong ke arah perilaku yang tidak baik di sisi agama," katanya.
Justeru itu, bagi pasangan yang sedang mabuk bercinta, terdapat lima elemen yang mampu membuatkan cinta itu berkekalan dan disudahi dengan ikatan perkahwinan sekiranya ia diamalkan dalam kehidupan harian. Antaranya ialah:
Cinta pada Allah Ketika sedang hangat dilamun cinta, sedarilah kita pada hakikatnya di manakah lahirnya erti sebuah cinta. Setiap insan perlu mencintai Allah dan mensyukuri nikmati yang diberikan. Tanamkan dalam hati, 'Aku cinta Allah'. Niat yang betul pasti akan dimakbulkan oleh-Nya.
Cinta pada Nabi Pelengkap kehidupan adalah cinta pada Allah dan Rasul-Nya. Ibarat cinta pada sebuah kereta, tetapi tayarnya tidak. Apakah yang akan timbul sekiranya cinta yang dilahirkan bukan secara keseluruhan dan tiada keikhlasan?
Cinta kepada ibu dan ayah Kasih ibu hingga ke syurga, kasih bapa tiada penghujungnya. Sama ada yang masih hidup mahupun telah kembali kepada-Nya, tanamkan rasa cinta kepada ibu dan ayah. Restu ibu dan ayah membawa sinar kebahagiaan sepanjang hayat. Jadi, hubungan cinta mesti mendapat keredaan daripada mereka.
Cinta kepada guru Guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri untuk kebahagiaan orang lain. Besar nyala api, besar lagi ilmu yang diberikan. Sekiranya memperoleh ilmu, maka kita tidak akan sesekali mempersiakan kehidupan yang mencabar sehingga boleh mencetuskan perbuatan yang terkutuk dan dilarang agama. Peranan seorang guru mempunyai persamaan seperti seorang ibu.
Cinta pada diri sendiri Sayangilah diri anda seperti mana anda menyintai ibu dan ayah. Jangan sesekali menganiaya diri sendiri sehingga sanggup mengorbankan separuh kehidupan, akibat dinodai perasaan cinta yang mendalam dari insan bergelar kekasih.
Tanya pada diri sama ada bersedia ataupun tidak dengan cinta pasangan itu.
Menurut Tuah, lima elemen di atas memberi impak mendalam pada diri sendiri dan ia berkesan membentuk sebuah perhubungan cinta ke arah yang lebih positif dan berpendirian.