Penderaan: Titik hitam dalam kehidupan


Penderaan: Titik hitam dalam kehidupan

KES satu: Tiga adik beradik perempuan berusia 13, 15 dan 17. Dua dicabul sementara kakak mereka menjadi mangsa dera seksual daripada usia 10 tahun. Pelakunya ialah bapa mereka sendiri.

Kes 2: Kanak-kanak lelaki dan perempuan (adik beradik), ditinggalkan ibu mereka di padang permainan. Keluarga ini diusir dari rumah sewa kerana gagal membayar sewa. Ayah mereka sudah lama menghilangkan diri.

Kes 3: Pekerja seks kanak-kanak. Seorang kanak-kanak perempuan di'langgani' lelaki semasa ibu bapanya keluar bekerja.

Kes 4: Remaja belasan tahun, anak pelarian, dipaksa bapanya untuk menjual tubuhnya bagi mendapatkan wang untuk si bapa.

Kes 5: Kanak-kanak lelaki yang didera teruk secara seksual semasa merempat di jalanan.

Kes 6: Kanak-kanak lelaki yang didera secara fizikal dan mental oleh ibunya yang sentiasa mahukannya mendapat keputusan A dalam peperiksaan.

Senarai penderaan kanak-kanak di atas mungkin tiada penghujungnya tetapi yang dipaparkan ialah antara kes kanak-kanak yang terdapat di Shelter, sebuah pertubuhan kebajikan berdaftar berpejabat di Petaling Jaya.

BENTUK PENDERAAN

Kes-kes yang disebutkan di atas memberi sedikit gambaran bentuk penderaan yang lazimnya dikaitkan kepada penderaan kanak-kanak, istilah yang digunakan untuk perbuatan menganiayai kanak-kanak.

Ia juga jelas menunjukkan kanak-kanak terdedah kepada pelbagai bentuk penderaan, bukan sahaja fizikal tetapi juga seksual, emosi dan diabai.

Menurut Anderson Selvasegaram yang menyelia rumah-rumah kebajikan Shelter, 51 peratus kanak-kanak yang didera di negara ini dilakukan oleh ibu bapa mereka sendiri.

Perangkaan keseluruhan menunjukkan 70 peratus insiden penderaan kanak-kanak dilakukan oleh orang yang dikenali kanak-kanak itu termasuklah ibu bapa mereka.

"Kanak-kanak yang didera akan juga diabai dan bagi sesetengah kanak-kanak yang ditinggalkan, berkemungkinan juga dalam tempoh dia ditinggalkan, seseorang mungkin telah mendera anak itu.

"Sesetengah ibu bapa mungkin berkata mereka tidak pernah mendera anak mereka tetapi bila anak itu diabai di tepi jalan atau tinggal di rumah bersendirian, pakcik atau jiran mungkin mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak itu. Ini juga kes pengabaian kerana ibu bapa gagal memberi perlindungan kepada anak," kata beliau dalam satu wawancara di pejabat Shelter di sini baru-baru ini.

REAKSI BERBEZA

Menurut pakar sakit jiwa Shelter, Alex Lui, kanak-kanak yang didera menunjukkan reaksi yang berbeza selepas didera.

Sesetengahnya, kata beliau, mungkin akan menjadi lebih agresif, yang lainnya menjadi pendiam atau menunjukkan tingkah laku yang anti-sosial.

Tambahnya, ada juga kanak-kanak mangsa penderaan yang mengalami keadaan trauma itu tetapi tidak langsung menunjukkan sebarang kesan.

"Terdapat beberapa faktor yang mungkin mempengaruhi cara bertindak kanak-kanak yang didera seperti usia ketika dia didera dan berapa lama dia didera. Jika untuk tempoh yang singkat, kesannya tidak berapa teruk berbanding kanak-kanak yang didera bertahun-tahun secara konsisten.

"Faktor lain termasuk siapa yang mendera kanak-kanak itu. Sekiranya penderaan berlaku sekali dan dibuat oleh orang yang tidak dikenali, kesan ke atas kanak-kanak itu mungkin tidak seberapa berbanding jika penderanya ialah bapanya sendiri," jelas Lui.

Beliau berkata personaliti seseorang kanak-kanak itu turut memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana kesan penderaan ke atas diri kanak-kanak berkenaan.

Sesetengah kanak-kanak, katanya, dapat bertahan walaupun didera dan mereka melalui pengalaman pahit seperti tidak ada apa yang berlaku.

"Kami ada kes melibatkan tiga adik beradik. Ibu bapa mereka sering bertengkar dan kadang kala kanak-kanak ini diusir keluar dari rumah dan terpaksa tidur di dalam kereta. Yang menghairankan ialah kanak-kanak ini berjaya dalam kehidupan mereka kemudiannya," kata Lui.

Katanya, sokongan sosial juga ialah faktor penting untuk kanak-kanak yang didera.

"Campur tangan awal serta kaunseling boleh membantu kanak-kanak yang didera. Seperti kes tiga beradik yang dicabul ayah mereka sendiri. Mereka ini bernasib baik kerana ada makcik mereka yang mengambil berat akan kebajikan mereka. Keadaan mereka mungkin lebih teruk jika tidak ada campur tangan awam serta orang yang mengambil berat," katanya, dengan menambah satu lagi faktor ialah agama.

PARUT YANG DALAM

Terdapat pepatah yang bermaksud 'masa yang berlalu menyembuh luka' tetapi menurut Lui, keadaan ini tidak berlaku dalam dalam kes penderaan terutamanya penderaan seksual yang melibatkan orang yang dipercayai kanak-kanak berkenaan.

"Meskipun luka mungkin sudah sembuh tetapi parutnya tetap ada. Kita akan tahu sama ada kanak-kanak yang didera telah dapat menangani keadaannya apabila dia dapat bercakap mengenai penderaan itu tanpa berasa terlalu tertekan.

"Sekiranya kanak-kanak itu tidak dapat bercakap dengan selesa akan pengalamannya didera, ini bermakna lukanya masih belum sembuh sepenuhnya," kata Lui.

Beliau merujuk sekali lagi kepada kes tiga beradik di mana kakak mereka didera secara seksual sejak berusia 10 tahun.

Menurut Lui, dua adik mangsa, sudah boleh menyesuaikan diri dengan penghuni lain sejak tinggal di rumah kebajikan Shelter dan telah mula bersekolah.

Bagaimanapun, kakak mereka belum lagi dihantar ke sekolah. Jelas Lui, remaja itu tidak ke sekolah dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

"Tambahan, si kakak masih lagi trauma dengan apa yang dilaluinya. Dia telah menjadi mangsa dera seksual dari usianya 10 tahun hingga 16 tahun. Tiada siapa yang tahu penderitaannya sepanjang tempoh itu.

"Dalam kes remaja ini, impaknya lebih teruk kerana pelaku adalah bapanya sendiri. Kami mengambil kaunselor wanita untuk mengendalikan kes remaja ini," katanya.

Menurut Lui, dalam sesetengah kes penderaan seksual, mangsa boleh bersikap negatif di sebalik bantuan kaunseling.

Beliau memberi contoh satu kes sumbang mahram yang dirujukkan kepada Shelter beberapa tahun lalu. Mangsa kes itu tinggal di rumah kebajikan Shelter buat sementara sebelum dia dipindahkan ke rumah kebajikan lain.

Remaja perempuan dalam kes sumbang mahram itu merasakan dirinya 'kotor' sehinggakan dia tidak kisah lagi apa yang berlaku ke atas dirinya.

"Dia menganggap dirinya tidak berguna lalu dia menjual tubuhnya," jelas Lui. Katanya, sesetengah mangsa penderaan seksual mampu membina kehidupan baru sementara ada juga yang sukar walau pun hanya untuk menjalin hubungan.

MENCARI PENYELESAIAN

Tekanan serta masalah kewangan sering dikaitkan dengan kes penderaan kanak-kanak dan menurut Lui, majoriti kes berkenaan berlaku dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Sesetengah ibu bapa juga mendera anak-anak mereka dengan hukuman yang keras kemungkinan kerana mereka sendiri diperlaku begitu oleh ibu bapa mereka.

"Kami sedang mengajak ibu bapa untuk datang menyertai program Shelter di mana mereka akan dilatih untuk menguruskan anak-anak mereka kerana banyak kes melibatkan anak-anak yang sukar dikawal. Program ini diambil dari UK dan ia lebih fokus kepada komunikasi.

"Apa yang kami tekankan ialah bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab. Hubungan insani bukan satu hala di mana cara anak anda bertindak balas dengan anda bergantung kepada cara anda berkomunikasi dengan anak anda. Kami beritahu ibu bapa apabila mereka mengubah tingkah laku mereka, anak-anak juga akan turut menukar perangai mereka," kata Lui.

Beliau percaya ibu bapa akan menjadi kurang tertekan sekiranya mereka belajar cara untuk menguruskan anak-anak mereka dan cara demikian mungkin boleh menangani keadaan penderaan kanak-kanak pada masa sekarang.

Kanak-kanak pada masa ini juga, katanya, lebih tertekan berbanding sebelumnya kerana ibu bapa semakin kurang menghabiskan masa dengan anak-anak mereka ditambah dengan tekanan rakan sebaya dan juga kes buli.

EMPATI ORANG RAMAI

Sementara itu, Selvasegaram memberitahu perlu juga ada lebih kesedaran dalam kalangan orang ramai dalam menangani kes-kes penderaan kanak-kanak.

"Kadang kala apabila kita berjalan di Kuala Lumpur dan terpandang seorang ibu meminta sedekah dengan dua anaknya, kita perlu bertanya sama ada selamatkah untuk anak-anak itu berada di situ.

"Sering kali kita hanya mencampakkan wang 20 sen dan berlalu pergi. Dengan si ibu meminta sedekah dan anak-anak berkeliaran, mereka mungkin menjadi mangsa penderaan," katanya.

Selvasegaram berkata orang ramai seharusnya lebih mengambil berat nasib kanak-kanak itu meskipun kebanyakan mereka ialah pendatang asing.

"Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Kita bukan bercakap untuk memberi mereka kad pengenalan atau pasport, hanya memberikan sedikit perhatian kemanusiaan atas dasar mereka adalah kanak-kanak dan kita mesti mengambil berat tentang mereka tanpa mengira siapa mereka? dari mana asal mereka? siapa ibu bapa mereka? tambahnya.

PERLU PERUBAHAN

Menurut James Nayagam, pengarah eksekutif Shelter, terdapat keperluan mendesak untuk menukar 'seluruh sistem' berhubung kanak-kanak didera, ditinggal dan diabai di Malaysia.

Jelas beliau, komitmen untuk perubahan membabitkan semua pihak, bukan sahaja kerajaan.

Kebajikan kanak-kanak ialah yang paling utama. Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak mesti dilindungi dan kes penderaan kanak-kanak mesti disiasat.

"Akta ini memang baik tetapi ia tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya. Dari segi tindakan, kita perlu bertindak pantas terutama dalam kes kehilangan kanak-kanak. Kita tidak boleh bertangguh apabila kanak-kanak hilang.

"Kita perlu memaparkan gambar kanak-kanak yang hilang itu umpamanya di kotak tisu atau susu. Media juga perlu memainkan peranan utama," kata Nayagam yang terlibat dengan Shelter sejak 28 tahun lalu.

"Kanak-kanak mesti ada suara dan kita ialah suara mereka. Memang kita boleh berdiam dan meneruskan kehidupan tetapi akhirnya apa yang akan berlaku kepada generasi masa depan? Kita mesti menyediakan persekitaran dan sistem yang sesuai untuk mereka membesar," kata Nayagam.

http://www.mstar.com.my/