KESILAPAN KITA MANUSIA.


KESILAPAN KITA MANUSIA.

Semua manusia pernah berbuat silap. Adakah anda takut melakukan kesilapan? Adakah anda tahu bagaimana untuk menangani dan belajar daripada kesilapan? Sering mengulangi kesilapan yang sama? Benci kesilapan dan tidak dapat apa-apa daripada kesilapan?

Usah “bazirkan” hidup anda dengan melakukan kesilapan, tanpa mendapat sesuatu. Pelajarilah bagaimana untuk menangani dan mengurus kesilapan. Lebih daripada itu, anda boleh belajar daripada kesilapan anda! Tip di bawah ini mungkin boleh membantu anda :

Terima Kesilapan Yang Anda Lakukan
Memanglah kalau kita buat silap, kita berasa kecewa dan sedih. Tapi jangan biarkan kesedihan itu ‘memerangkap’ hidup anda. Terima ia sebagai satu pengalaman hidup yang akan terus mendidik dan membimbing anda.

Akui Hakikat BahawaKesilapan Adalah Sebahagian daripada Fitrah Kehidupan
Semakin banyak usaha untuk mencapai kejayaan, semakin besar risiko untuk anda melakukan kesilapan. Orang yang tidak buat silap ialah orang yang tidak buat apa-apa. tetapi tidak berbuat apa-apa adalah kesilapan yang paling besar. Kejayaan bukannya tidak melakukan kesilapan, tetapi tidak melakukan kesilapan yang sama untuk kali ke dua.

Hanya Lembah Yang Rendah Mampu Menadah
Air hanya pergi dan berkumpul di tanah yang rendah. Jika anda asyik meninggikan diri sendiri, maka alamat susah untuk menadah ilmu. Oleh itu, dalam banyak hal, anda perlu merendahkan diri dengan orang lain supaya boleh ‘menadah’ ilmu yang ‘mencurah-curah’ dari orang di sekeliling anda. Barulah anda boleh betul-betul belajar daripada kesilapan yang berlaku.

Sedia Untuk Meminta Maaf
Jangan rasa hina dan malu untuk meminta maaf. Meminta maaf adalah manifestasi kematangan dan rasa tanggungjawab seseorang itu. Jika anda berdiam diri, bukan sahaja dia marah kerana anda buat silap, bahkan menjadi semakin marah kerana ‘ kebiadaban dan berlagak’ yang anda tunjukkan kerana enggan meminta maaf.

Jika Ia Kesilapan Peribadi Anda; Rahsiakannya
Ada kesilapan yang tidak melibatkan orang lain. Jika ini berlaku, simpanlah ianya sebagai satu rahsia hidup anda. Tiada guna anda membuka pekung di dada. Analisalah segera kesilapan itu dan lakukan usaha pembaikan demi perubahan.

Jika Ia Melibatkan Orang Lain?
Berterus terang dengannya, janjikan bahawa anda akan berusaha untuk memperbaiki kesulitan yang wujud kerana kecuaian anda. Setelah berusaha, terangkanlah apa yang anda telah lakukan dan sejauh manakah kerberkesanannya.

Belajarlah Daripada Kesilapan, Elak Daripada Berulang.
Renungkan apa sebenarnya apa yang telah berlaku. Apakah faktor-faktor sehingga berlakunya kegagalan itu. Kemudian, cari jalan untuk mengelakkan daripada perkara yang sama berulang kembali. Jika masih berlaku; mintalah bantuan mereka yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripada anda. Terangkan kepadanya tentang masalah yang dihadapi secara terperinci. Bahkan kadangkala anda akan dapat mencari penyelesaian ketika anda sedang menerangkan kepadanya!

Jika Ada Kesilapan Yang Memalukan Majikan, Tangani Dengan Segera
Pergilah berjumpa majikan anda secepat mungkin, jelaskan kepadanya apa yang berlaku. Jika tidak, jangan terkejut jika majikan sendiri yang akan mencari anda, atau menyiasat kejadaian hingga ke akar umbi. Lebih teruk lagi, kalau majikan mendengar dan terpengaruh dengan gossip daripada orang lain. Bukankah ini semua akan ‘mengucar-ngacirkan’ hidup anda?

Jika Anda Tidak Dapat Memperbaiki Kesilapan Itu, Minta Bantuan
Tanyalah rakan-rakan anda yang lebih arif dalam bidang tersebut. Bincangkan dengan dia, apakah tindakan yang anda telah lakukan, dan kenapa masih tidak berjaya. Kemahiran memujuk dan mendorong sangat penting dalam proses ini.

Dipetik dr:http://koleksicinta.com/