Kaya tidak mesti bahagia

Kaya tidak mesti bahagia


Walaupun sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya, kita perlu menanyakan kepada diri, adakah cinta dan sayang kepada pasangan kita itu selaut? - Gambar hiasan


KAU mesti ingat, perkahwinan itu bukan untuk sehari dua. Sebaliknya, ia untuk selama-lamanya. Sebab itu, susah senang kena hadapi bersama. Mungkin pesanan ini sering kali disampaikan atau diperturunkan kepada pasangan pengantin oleh orang tua-tua sebagai pendedahan melangkah ke alam hidup berumah tangga.

Malah semakin usia perkahwinan melangkah ke hadapan melepasi fasa pertama dan pada masa yang sama, bahtera perkahwinan terus menerus mengharungi cabaran semasa. Kesabaran menangani asam garam dalam kehidupan berkeluarga, akhirnya diraikan dengan pelbagai cara.

Pun begitu, tempoh sedekad atau sehingga mencapai sambutan sempena jubli perak atau jubli emas sekalipun, tidak akan membawa apa-apa pengertian andai ia dinilai dari sudut usia semata-mata. Aspek seperti matlamat, tujuan dan perlaksanaan syariat hidup berumah tangga Islam itulah yang seharusnya turut diambil kira.

Sayangnya, penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan.

Namun, pernahkah kita bertanya kepada diri kita, adakah perkahwinan kita itu sarat dengan unsur-unsur seperti kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan? atau adakah ia sekadar angka yang hendak dibanggakan?

Hakikatnya, menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak, pun begitu sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Malah setiap manusia tidak kira bangsa, agama, status dan usia mendambakan kehidupan berkeluarga yang harmoni dan bahagia.

Mengulas tajuk forum dalam Seminar Rumahku Syurgaku - Kau Dekat di Hati iaitu 'Selaut Kasih, Segunung Sayang' anjuran anjuran Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial & Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Masjid Negara kata Sharifah Hayaati, seperkara yang tidak dapat dinafikan apabila menyentuh dan menyebut tentang kasih sayang Allah, ia memang melaut. Apatah lagi, laut itu tidak bertepi.

Malah, beliau turut menyarankan agar setiap insan, sama ada isteri mahupun suami mesti selalu menadah tangan kepada Yang Maha Kuasa, Allah SWT meminta agar dikurniakan rumah tangga yang diibaratkan syurga di dunia.

"Rumah tangga itu adalah satu ibadat dan nikmat Allah SWT, jadi kita patut baca balik atau semak semula serta membuat muhasabah diri. Walaupun sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya, kita perlu menanyakan kepada diri, adakah cinta dan sayang kepada pasangan kita itu selaut?

"Jangan sesekali kita mengambil kesempatan atas panjangnya tempoh perkahwinan kita itu. Ini bermaksud, dari dahulu hingga sekarang, perkahwinan kita itu janganlah begitu sahaja. Yang penting bunga-bunga cinta itu perlulah sentiasa dimekarkan dan disemarakkan selalu agar elemen bahagia itu berkekalan sehingga ke hujung hayat.

"Malah kita kena selalu tanamkan dalam diri, bahawa setiap kali kita menghadiri majlis ilmu, khususnya berkaitan hubungan suami isteri, kita kena pasang niat bahawa tujuannya adalah semata-mata untuk mendapatkan kebahagiaan dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.

"Begitu juga kalau ada masalah, itulah lumrah rumah tangga seperti lidah yang ada ketikanya tergigit. Maka, minta Allah perbetulkan. Kalau ada kasih sayang yang tidak ditunjukkan, maka disegar dan dibugarkan," terang beliau.

Menurut Sharifah Hayaati, ini kerana setiap pasangan itu sendiri akan boleh mengetahui dan merasai sekiranya hubungan itu tidak ada kekuatan kasih sayang.

Kata beliau lagi, ramai di antara kita yang tidak nampak atau perasan dengan nikmat yang dikurniakan-Nya dan apabila disedari ia sudah terlambat iaitu apabila ia sudah tiada.

Contohnya nikmat tidur atau makan, ia disedari setelah kita mengalami kesakitan, begitu jugalah dengan kebaikan suami atau isteri, ia disedari setelah mereka tiada lagi.

Menurut Sharifah Hayaati, Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah.

Oleh itu, untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga sesuai dengan sabda Rasulullah SAW: Rumahku adalah syurgaku, ia memerlukan kepada kekayaan hati. Ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah yang bermaksud: Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

"Apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup serta bersyukur terhadap nikmat yang dimiliki, maka apa juga yang melanda dalam rumah tangga, ia mampu ditangani secara bijaksana.

sifat-sifat mulia

"Justeru, dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur dan sebagainya," katanya.

Di samping itu, dalam konteks membina 'syurga' dalam rumah tangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak demi melahirkan rasa tanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing.

"Suami sebagai ketua keluarga adalah berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya melalui kehidupan yang diredai Allah dengan memberi didikan agama dan menyemaikan nilai-nilai murni kepada mereka," ujar beliau.

Sementara itu, Kaunselor Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat pula menjelaskan, dalam konteks kasih sayang atau membina kasih sayang khususnya hasrat membina rumah umpama syurga, antara kriteria yang perlu ada ialah penghuninya hidup dengan berkasih sayang.

Ulas beliau, syurga itu terbina daripada asas perkataan; Shim, Ra, Ga dan Alif. Shim itu bermaksud seronok. Dalam konteks rumah tangga misalnya, suami dan isteri itu perlu saling seronok.

Ia lebih terletak pada wajah, layanan dan sebagainya yang akan melahirkan bibit-bibit kasih sayang. Lagu Nash, Ada Syurga Di Wajahmu amat sesuai dihayati.

Ra pula bermakna riang yang menjurus kepada layanan secara jujur dan ikhlas daripada suami atau isteri. Manakala Ga pula ialah gaya kehidupan.

"Sayangnya, ramai yang terleka dalam aspek ini, terlepas pandang atau mengambil mudah. Oleh itu, selagi kita mengamalkan gaya hidup berkeluarga sebagaimana yang digariskan oleh Allah SWT, insya-Allah akan terbinanya rumahku syurgaku itu. Yang akhir iaitu Alif, yang bermaksud isteri dan anak-anak," jelas beliau.

Norazman dalam ceramahnya turut menekankan soal kepentingan setiap pasangan suami isteri itu menunjukkan kasih sayang secara pengucapan dengan kata-kata pujian dan ungkapan romantis. Malah hubungan ini akan bertambah kuat dan kukuh, sekiranya disertakan dengan bahasa badan.

"Adakah sayang itu berterusan sampai sekarang? Itulah yang perlu ditanyakan kepada diri individu setiap pasangan yang berkahwin. Perkataan sayang itu ada tidak disebutkan kepada pasangan masing-masing dari dahulu hingga sekarang?

"Malangnya, dalam budaya orang Melayu, kalau si suami atau si isteri itu menyebut benda-benda yang elok seperti pujian sayang, dianggap sudah buang tabiat. Itulah yang salah dan persepsi inilah kena diubah oleh pasangan berkahwin," tegasnya bahawa sayang itu tidak bertepi, tidak berhenti dan tidak hanya untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Menjelaskan tentang mencari keseimbangan dalam suasana rumah tangga dwi kerjaya pula, kata Norazman, senario sebegini memang bukanlah sesuatu yang janggal.

"Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua suami isteri zaman sekarang kena keluar bekerja demi memenuhi kehendak di dalam rumah tangga dan perkembangan semasa kehidupan. Pun begitu, janganlah benda atau material itu menjadi tekanan kepada rumah tangga. Contohnya, meniru atau membandingkan gaya hidup dengan orang lain seperti jiran atau teman.

"Keperluan kehidupan itu walaupun perlu ada tetapi biarlah ia berpadanan, berpatutan atau berwajaran dengan kemampuan yang ada. Malah walaupun mampu, adakah ia satu keperluan? Jika tidak perlu tetapi kita tetap mengingininya, lantas dalam konteks agama Islam, di situ sudah berlaku pembaziran.

"Hari ini fenomenanya, ramai suami isteri yang dwi kerjaya maka wujud di situ tanggungjawab bersama. Namun tidak lari daripada konsep, isteri berkerja membantu ekonomi keluarga manakala suami tunggak dalam rumah tangga. Oleh itu, resipi yang perlu ada dalam rumah tangga dwi kerjaya iaitu kenalah dilakukan perancangan kewangan bersama," terang Norazman. Bekerja bukan sahaja untuk memenuhi keperluan asas tetapi kena bijak merancang kewangan seperti peruntukan untuk pendidikan anak-anak, pinjaman, tabungan yang semuanya demi keharmonian, kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga.

Oleh itu, pesanan beliau, lelaki atau perempuan masing-masing mempunyai peranan dalam kehidupan di dunia untuk menjayakan wawasan hidup berkeluarga. Di samping itu, kita juga kena beringat bahawa setiap yang Allah beri itu, akan ditanyakan oleh-Nya terutamanya berkaitan harta yang dimiliki, masa, usia dan sebagainya.

Kefahaman mengenai tanggungjawab rumah tangga dan kerjaya ini apabila difahami, disokong dan didokong maka masalah akan mengecil.

Pada majlis yang sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kesuma, Jakim, Zawiah Hassan mengatakan bahawa 99.5 peratus anak-anak yang bermasalah datangnya dari rumah tangga yang bermasalah. Rumah yang porak peranda adalah disebabkan oleh ibu dan bapa itu.

Lantaran itu, ibu bapa kini perlulah berusaha menyediakan suasana dan persekitaran rumah yang kondusif atau selesa bagi anak-anak mereka. Ini secara langsung, dapat mengelak anak-anak ini mencari kebahagiaan dan ketenangan di luar rumah.

"Perkara pokok yang perlu ada bagi setiap seorang daripada kita ialah belajar untuk menjadi orang yang bersyukur kepada Allah SWT. Malah kita kena percaya dan mengakui bahawa tidak ada sesuatu yang sempurna di dunia ini kecuali-Nya.

"Oleh itu, sebarang masalah, cabaran dan musibah itu adalah lumrah kehidupan. Yang mana perkara-perkara itulah menjadikan suami, isteri dan anak-anak lebih matang dalam melihat sesuatu situasi.

"Selain itu, kita persoalkan diri adakah kita ini benar-benar mengenali pasangan kita? Perkahwinan yang berkekalan lama, jangan dijadikan alasan untuk tidak menilai perkara ini semula. Hakikatnya, sifat kenal mengenali inilah kena sentiasa dinilai secara berterusan," kata beliau kerana kursus perkahwinan tidak mampu membendung perceraian.

Cadang Zawiah lagi, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menyemarakkan rasa cinta dan kasih dalam sesebuah keluarga iaitu; melaksanakan solat berjemaah, makan bersama, membaca al-Quran, berzikir, beriadah, berpuasa, bergurau senda serta tidak kurang penting iaitu menghadiri majlis-majlis ilmu. Ini kerana katanya majlis ilmu itu adalah Raudhatul Jannah.

Seminar yang berlangsung di Dewan Solat, Majid Negara itu telah dirasmikan oleh Pengarah Kesuma, Ghafani Awang Teh. Manakala moderator pada forum itu ialah Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno.